NOVEL
PAPA
BAB 1
Selepas berehat di dalam biliknya, Julia turun ke dapur di
tingkat bawah rumahnya. Dia mendapati pembantu rumahnya, Mak Cik Noraini,
sedang sibuk membancuh kopi dan mengoreng karipap bagi hidangan minum petang
mereka. Mak Cik Noraini yang memahami gelagat Julia yang asyik memerhatikan
karipap yang digorengnya itu, terus menyuruh Julia memakan sebiji karipap dan
meninggalkan selebihnya kepada papa dan mama Julia. Mak Cik Noraini terus menghidangkan
secawan kopi O kepada Julia sambil memerhatikan sesuatu di luar tingkap. Julia
turut mengikuti perlakuan MakCik Noraini itu. Di luar rumah, kelihatan papa dan
mama sedang bercakap-cakap di kebun sayur papa. Mereka berdua
memerhatikan kemesraan yang ditunjukkan oleh papa dan mama. Mereka memberikan tumpuan kepada
percakapan antara papa dan mama tantang sayur kacang panjang yang ditanam oleh
papa serta masakan yang perlu disediakan oleh mama untuk makan malam bagi
mereka berempat. Papa mengharapkan mama yang akan memasaknya sendiri dan
bukannya Mak Cik Noraini, kerana bagi papa, masakan mama amat sedap serta
sentiasa memenuhi seleranya. Perbualan papa dan mama kemudiannya
berkisar tentang tanaman jagung yang ditanam oleh papanya. Papa yang
mengharapkan mama yang akan memasaknya, terus membuat mama merajuk buat
seketika sebelum mereka berdua beriringan masuk ke dalam rumah dengan penuh
mesra untuk menikmati hidagan petang. Bagi Julia dia amat mengagumi kasih
sayang yang ditunjukkan oleh papa dan mama, tetapi kadang kala dia berasa bosan
melihatkan telatah mereka berdua. Dia berpendapat bahawa papa dan mama tidak
patut berkelakuan seperti itu memandangkan dia kini sudah meningkat remaja. Mak
Cik Noraini yang banyak menyimpan rahsia papa dan mama hanya tersenyum
mendengar rungutan Julia itu.
BAB 2
Julia terpaksa pulang dari sekolah bersendirian. Mama, Cikgu
Intan Maliana yang sakit telah di jemput oleh papa, Encik Jefri atau lebih
dikenali sebagai Cikgu Jefri. Pada petang itu, hanya Julia dan Mak Cik Noraini,
pembantu rumah yang tekun dan taat yang berada di rumah. Mak Cik Noraini sudah
lama berkhimat di rumah Julia. Papa yang kini bertugas sebagai Pensyarah
Ekonomi di Kolej Iktisas serta mama mengasihinya seperti saudara sendiri. Dalam usianya yang menjangkau 16
tahun dan masih menuntut dalam tingkatan 4, Julia berasa kagum akan keunggulan
dan kesetiaan papa yang sangat mencintai mama. Hal ini membuat Julia juga ingin
bertemu jodoh dengan lelaki sebaik papa kelak. Malah dia merasakan hubungan
papa dan mama amat bahagia. Julia kemudiannya terkenangkan peristiwa jari mama
berdarah kerana terhiris pisau. Papa yang begitu mengambil berat akan keadaan
mama pada masa itu ternyata menyerlahkan lagi kasih sayang papa terhadap papa. Semasa Mak Cik Noraini menghidangkan
bubur jagung yang turut menjadi kegemaran papa dan mama kepada Julia, dia
menceritakan kisah percintaan papa sehinggalah kepada nostalgia pertemuan
antara papa dan mama yang menarik tumpuan Julia. Julia terus mendapatkan papa dan
mama apabila menyedari mereka sudah pulang. Julia lalu menanyakan kesihatan
mama. Papa dan mama hanya tersenyum tanpa memberikan jawapannya. Setelah
ditanya lagi oleh Julia, papa dengan perasaan gembira memaklumkan bahawa mama
sedang mengandung. Julia amat gembira apabila mengetahui hal tersebut. Mak Cik
Noraini turut gembira tetapi turut mengingatkan papa dan mama tentang masalah
yang pernah menimpa mama sewaktu melahirkan Julia. Papa akur akan kata-kata Mak
Cik Noraini dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah.
BAB 3
Julia pulang dari sekolah ketika lewat petang. Sebaik sahaja
sampai di rumah, Julia terdengar perbualan antara mama dengan Mak Cik Noraini.
Mak Cik Noraini menasihati mama supaya membuat keputusan yang tepat berkenaan
kandungannya agar tidak menjejaskan kesihatannya seperti yang telah berlaku
semasa melahirkan Julia. Menurut kata Mak Cik Noraini lagi, mama telah
kehilangan banyak darah dan menyebabkan kesihatannya terganggu. Mama juga tidak
sedarkan diri selama beberapa bulan. Walaupun mama mendengar nasihat Mak
Cik Noraini, namun mama tetap berkeras untuk meneruskan kandungan kerana papa
sangat menginginkan anak. Atas ketelusan serta kasih sayangnya terhadap papa,
mama sanggup berkorban demi papa. Julia amat tersentuh apabila mendengar
kata-kata mama itu. Sebaik sahaja papa pulang dari tempat kerja, Julia mengajak
papa bermain tennis di Kelana Jaya. Pada mulanya, papa menolak ajakan Julia
itu, tetapi bersetuju semula setelah Julia menyatakan dia akan mengajak mama
bermain dengannya. Sewaktu bermain tennis, Julia teringat akan perbualannya
dengan mama tentang papa. Papa sentiasa diminati oleh gadis lain tanpa
menghiraukan mama yang berada di sisi papa. Mama tidak menyukai kebebasan gadis
tersebut lantas menasihati Julia tidak berkelakuan sedemikian. Kehilangan tumpuan ketika bermain
menyebabkan Julia terkena bola tenis yang dipukul oleh papa. Semasa papa sedang
mengosok dan menuam kesan lebam di mukanya, seotang gadis yang bernama Aisyah,
pelajar kolej di tempat papa mengajar, menyapa mereka. Kemudian, papa terus
mengajak Aisyah minum bersama-sama mereka. Bagaimanapun, Julia tidak begitu
selesa dengan kehadiran Aisyah. Papa pula memberitahu bahawa Aisyah ialah
pelajarnya di kampus dan mereka sering berbincang tentang pelajaran.
BAB 4
Mama merungut apabila Julia terlewat ke tempat letak kereta.
Mama terpaksa cepat kerana dia ingin menghantar Cikgu Suzie ke bengkel kereta
di seksyen 14. Julia memohon maaf atas kelewatan kerana beberapa rakan
sekelasnya meminjam buku nota Geografi miliknya. Mama yang juga guru di sekolah
yang sama tidak menyukai perbuatan mereka. Dalam perjalanan ke Seksyen 14,
Cikgu Suzie menasihati mama agar berfikir semasak-masaknya untuk meneruskan
kandungan yang dikandungnya itu. Cikgu Suzie bimbang akan kesihatan mama yang
pernah mengalami komplikasi yang agak teruk sewaktu melahirkan Julia. Walau
bagaimanapun, mama tetap dengan keputusannya untuk meneruskan kandungannya. Dia
beranggapan segala perbuatan adalah pengorbanan dan kasih sayang seorang isteri
tercinta terhadap suami tercinta. Sebelum Cikgu Suzie keluar dari
kereta, mama berterima kasih atas peringatan dan nasihat yang diberikan
kepadanya. Bagi mama, hanya wanita berkahwin yang akan dapat merasai nilai
kasih sayang seorang isteri terhadap suami.
BAB 5
Mama bakal melahirkan anak kembar dalam masa empat bulan
lagi. Wajah papa semakin berseri-seri menantikan anak kembar yang bakal
dilahirkan. Kini, papa banyak meluangkan masa bersama-sama mama. Papa juga
sanggup menghantar serta mengambil mama dan Julia dari sekolah kerana tidak
mahu mama memandu sendirian bersama Julia. Papa lebuh gembira apabila melihat
perkembangan diri mama yang menunggu masa empat bulan lagi untuk bersalin. Mama agak bimbang untuk bersalin
kali kedua kerana pernah mengalami komplikasi ketika melahirkan Julia dahulu.
Papa cuba meyakinkan mama dan menanyakan persediaan terhadap segala kemungkinan
yang bakal berlaku. Bagi papa, segala apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. Julia cuba mendapatkan maklumat yang
jelas daripada MakCik Noraini tentang masalah yang dialami ole mama ketika
melahirkannya. Menurut Mak Cik Noraini, badan Julia sangat kecil dan
kelahirannya juga tidak cukup bulan. Mak Cik Noraini menjelaskan segala dugaan
terhadap keluarga Julia sehingga menitiskan air mata.
BAB 6
Aisyah seorang pelajar yang sungguh meminati pengajaran papa
dan sering menemui papa untuk bertanya tentang pelajarannya. Dia sering
menumpang kereta papa hingga ke rumahnya di seksyen 7, Kelana Jaya. Dia juga
sering mengajak papa minum di warung yang berhampiran dengan kolej. Walau
bagaimanapun, papa menolaknya kerana tidak mahu menimbulkan kekecohan anara
mama, dia dan Julia. Menurut papa, Aisyah ialah pelajar tahun akhir dan merupakan
anak kepada hartawan ternama, yang tidak perlu gusar akan pencapaian
akademiknya kerana harta yang dimiliki oleh ayahnya sudah dapat menjamin
kemewahan dan keselesaan hidupnya. Julia cuba menguji kesetiaan papa
terhadap mama dengan cara mengusik dan memberikan kebenaran sekiranya papa
berminat untuk menjadikan Aisyah sebagai kekasih dan seterusnya isteri
keduanya. Papa menolaknya dan menyatakan dia tidak berniat untuk menjalinkan
hubungan dengan Aisyah. Papa sudah berpuas hati dengan keadaan keluarganya
ketika itu. Papa juga menyatakan bahawa dia tidak sanggup menduakan kasih
sayangnya terhadap mama.
BAB 7
Tahun baru datang kembali. Julia sudah memasuki tingkatan lima. Kandungan mama
juga semakin membesar kerana mengandungkan anak kembar lelaki. Papalah yang
paling gembira mendengar berita tersebut. Papa begitu sibuk menyediakan
pelbagai kelengkapan untuk anak kembarnya itu. Namun, tindakan papa sering
ditegur oleh Mak Cik Noraini kerana baginya tidak elok membeli barangan bayi
pada peringkat awal kehamilan. Mak Cik Noraini bimbang sebarang kemungkinan
yang tidak diingini berlaku tetapi papa berkeras dengan segala tindakannya,
kerana baginya, segala-galanya sudah ditentukan oleh Tuhan. Julia sibuk mengulang kaji
pelajarannya untuk menghadapi peperiksaan SPM walaupun peperiksaan yang bakal
didudukinya itu masih lambat lagi. Julia sentiasa mendengar nasihat papa supaya
bersedia lebih awal supaya kekesalan tidak berlaku. Pada suatu hari, jam empat pagi,
Julia dan Mak Cik Noraini dikejutkan oleh papa kerana mama sudah menunjukkan
tanda sakit untuk bersalin. Julia membantu papa memapah mama yang menhan
kesakitannya menuruni anak tangga hingga ke kereta. Mak Cik Noraini pula
membawa bekalan mama untuk dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia
(HUKM). Dalam serba kekalutan itu, mama berjaya dihantar ke hospital dengan
selamat. Semasa dibawa masuk ke bilik pembedahan, mama sempat meminta
maaf daripada papa dan meminta keredaan papa atas segala kemungkinan yang akan
berlaku.
BAB 8
Papa, Julia dan Mak Cik Noraini sudah lama menunggu di luar
bilik pembedahan dengan penuh keresahan. Mereka sudah tidak sabar menunggu
berita tentang mama daripada doktor yang merawatnya. Tidak lama kemudian,
seorang doktor keluar dari bilik pembedahan dan meminta kebenaran papa untuk
melakukan pembedahan ke atas mama kerana terdapat komplikasi terhadap
kandungannya. Papa menandatangani surat kebenran tersebut. Semasa pembedahan
dijalankan, papa berdoa kepada Allah supaya mama dan anak kembarnya itu
selamat. Mereka semua menunggu pembendahan itu selesai dalam suasana dingin dan
mendebarkan. Selepas 3 jam, doktor yang bertanggungjawab melakukan
pembedahan itu keluar mendapatkan papa. Wajah papa dan Mak Cik Noraini
kelihatan pucat menantikan berita yang akan disampaikan oleh doktor itu. Doktor
menyatakan mama berjaya melahirkan anak kembar siam tetapi malangnya
kedu-duanya telah meninggal dunia sejak di dalam kandungan lagi. Menurutnya
lagi, anak kembar yang dikandung mama ialah anak kembar siam, yang bahagian
belakangnya melekat dari kepala hingga ke bahagian punggung. Julia dan papa
berasa sangat sedih atas kehilangan tersebut. Menurut doktor lagi, mama telah
kehilangan banyak darah dan masih dalam keadaan koma. Julia menangis
teresak-esak apabila mengenangkan kesedihan yang berlaku, begitu juga Mak Cik
Noraini yang turut mengesatkan air matanya. Julia berasa kagum akan ketabahan
papa dan kesabaran papa dalam menghadapi ujian Tuhan itu. Papa, Julia dan Mak Cik Noraini
menjenguk mama yang ditempatkan di bilik ICU dengan ditemani wayar-wayar halus
yang berselirat di mulut, hidung serta lengannya. Selepas segala urusan
selesai, mereka semua pulang ke rumah untuk menguruskan jenazah kedua-dua bayi
kembar itu untuk disemadikan. Papa menamakan mereka Ahmad dan Muhammad. Papa memaklumkan perkara tersebut
kepada pihak universiti dan sekolah. Kebanyakan kenalan, saudara dan rakan
sekerja papa dan mama yang telah mengetahui insiden tersebut datang menziarahi
mereka. Aisyah juga datang menziarahi mereka dan sempat menasihati papa supaya
tabah menghadapi cabaran tersebut.
BAB 9
Papa menghantar Julia ke sekolah setiap hari sementara
menunggu mama pulih daraipada koma. Papa meminta Julia menunggunya selepas
tamat waktu persekolahan dan melarang Julia menaiki bas pulang ke rumah. Julia
berasa kurang senang dengan permintaan papa itu kerana papa sering lambat
mengambilnya. Namun begitu, sebagai ayah, papa berjaya memujuk Julia. Julia disapa oleh Rasylan, pelajar
baru yang ditukarkan ke sekolah itu dan sekelas denga Julia. Rasylan melihat
kemesraan papa dan Julia. Rasylan juga meminta kebenran Julia untuk mengenali
mama dan papa dengan lebih dekat. Perasaan Julia tersentuh apabila Rasylan
menyebut nama ’mama’. Mata Julia menjadi merah kerana menangis sehingga dapat
dikesan oleh Rasylan. Tanpa mengetahui hal sebenar, Rasylan telah memohon maaf
daripada Julia jika dia telah menyinggung perasaan Julia. Apabila kelas bermula, kawan baik
mama dan sangat mengambil berat akan diri mama , iaitu Cikgu Suziyah atau lebih
dikenali Cikgu Suzie, yang mengajarkan subjek Matematik menemui Julia. Dia
menyatakan hasratnya untuk mengajak Julia menemaninya menziarah mama di
hospital. Pelawaan itu ditolak baik oleh Julia kerana dia akan ke hospital
dengan papa selepas tamay waktu persekolahan. Julia mencadangkan Cikgu Suzie
mengikuti kereta papa dari belakang nanti. Selepas waktu rehat, Rasylan
menyatakan hasratnya untuk berjumpa dengan Julia selepas tamat sesi
persekolahan, tetapi Julia menolak permintaan tersebut dengan alasan ingin
menziarah mama di hospital bersama dengan papa dan Cikgu Suzie.
BAB 10
Apabila sampai di hospital, papa, julia dan Cikgu Suzie
terus menuju ke wad ICU. Sebelum memasuki bilik ICU, mereka dikehendaki memakai
pakaian yang dikhaskan oleh pihak hospital. Mereka juga terpaksa memakai kasut
khas sebelum masuk ke dalam bilik ICU itu. Papa memaklumkan kedatangan kami
kepada mama dengan ungkapan yang menyentuh perasaan. Julia perasan bahawa mata
papa merah selepas menyatakan bahawa mereka amat merindui mama. Pada hari papa tiada di rumah kerana
masih belum pulang dari tempat kerjanya. Julia mengambil peluang mengulang kaji
pelajarannya di dalam bilik bacaan yang sering digunakan oleh papa. Sedang dia
tekun menelaah, Julia terpandang gambar pada usia perkahwinan papa dan mama
kira-kira 17 tahun yang lalu. Kemudian, Julia membaca surat yang pernah
diutuskan oleh papa dan mama yang tiada tolok bandingannya itu. Julia duduk mengenangkan Mak Cik Noraini
yang sudah dianggapnya sebagai ibu keduanya kerana dialah yang menjaganya sejak
Julia dilahirkan. Mak Cik Noraini merupakan sepupu papa. Sejak kematian suami
dan anak-anaknya dalam kemalangan jalan raya kira-kira 17 tahun lalu, papa
mengajaknya tinggal bersama-sama papa dan mama supaya dia dapat melupakan semua
kesedihan sedih itu. Julia juga teringatkan Murni, rakan sekelas yang agak
mencemburuinya. Malah Murni juga cuba mempengaruhi rakan-rakan yang lain supaya
turut memusuhinya. Tindakan Murni itu menyebabkan Julia berasa sedih. Rasylan
cuba memujuk dan menasihati Julia supaya bersabar kerana baginya masih banyak
cabaran yang perlu ditempuhi nanti. Tidak lama selepas itu, papa pulang
selepas melawat mama di hospital. Julia berasa marah dan merajuk dengan
tindakan papa yang pergi ke hospital tanpa mengajaknya. Walau bagaimanapun,
rajuknya hilang apabila papa menjelaskan keadaan yang sebenar. Mak Cik Noraini
kemudiannya mengajak papa dan Julia makan hidangan yang sudah disediakan.
Sewaktu mereka berdua sedang menikmati hidangan, papa menerima panggilan
daripada pelajarnya, Aisyah.
BAB 11
Keadaan mama masih belum berubah. Sewaktu Julia baru pulang daripada
menduduki kertas Matematik peperiksaan SPM, dia terdengar perbualan antara papa
dan Mak Cik Noraini di meja makan. Dalam perbualan tersebut, Mak Cik Noraini
mencadangkan papa berkahwin lagi supaya kehidupan papa kembali ceria seperti
dahulu. Walau bagaimanapun, papa menolak cadangan Mak Cik Noraini itu dan kata
papa, dia juga perlu menjaga hati Julia. Julia bertekad tidak mahu lagi
mendengar perbualan tersebut kerana akan mengguris hatinya. Papa yang menyedari
kepulangan Julia terus bertanyakan perihal peperiksaan Julia pada hari itu.
Papa mengharapkan Julia mendapat pencapaian yang terbaik. Seterusnya Julia meminta izin dan
mengharapkan kebenaran papa untuk ke rumah Rasylan selepas selesai kertas
Geografi pada keesokan harinya. Namun demikian, papa menasihati Julia supaya
menjaga maruah sebagai seorang perempuan dan mencadangkan Julia mengajak
rasylan ke rumah mereka dahulu untuk mengenalinya sebelum Julia pergi ke rumah
Rasylan. Kata-kata papa itu telah memberika harapan tinggi terhadap
perhubungganya dengan Rasylan.
BAB 12
Ketika menunggu papa untuk makan malam bersama, Julia
menerima panggilan telefon daripada Aisyah, pelajar papa. Aisyah meminta
kebenaran papa untuk mengajak Julia bermain tenis bersama-sama pada keesokan
harinya dan papa membenarkannya. Keesokan harinya, sekembalinya
daripada menghadapi kertas terakhir peperiksaan SPM, Julia menerima kejutan
apabila tiba di rumah. Julia berasa sangat gembira menerima kepulangan mama
walaupun keadaan mama masih seperti biasa, koma. Tanpa pengetahuan Julia dan
Mak Cik Noraini, papa sudah membeli katil dan segala peralatan untuk mama di rumah. Pada petangnya, Aisyah tiba di rumah
Julia untuk mengajaknya bermain tenis seperti yang telah dijanjikan. Julia cuba
menolak tetapi papa terlebih dahulu menggesanya supaya mengikut Aisyah. Julia
memaklumkan berita kepulangan mama kepada Aisyah dan menyatakan bahawa dia akan
menjaga mama sehingga sembuh. Hasratnya itu dipertikaikan oleh Aisyah atas
alasan, Julia perlu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Aisyah
menasihati Julia supaya memberikan lebih tumpuan terhadap pelajaran kerana itulah
tanggungjawab Julia yang utama. Selepas bermain tenis, Aisyah
membawa Julia ke balik ke rumahnya dan memperkenalkan Julia kepada ayah dan
umminya yang kebetulan ada di rumah. Bapa Aisyah, Datuk Mahazar Sheikh
Mohammad, ialah seorang tokoh korporat dalam bidang pengiklanan. Menjelang malam, barulah Aisyah
menghantar Julia pulang ke rumah, menyebabkan papa menjadi kurang senang dan
marah.
BAB13
Kini sudah lapan bulan mama terlantar koma di atas katil.
Keputusan SPM juga akan diumumkan beberapa minggu sahaja lagi. Julia berasa
resah dan gelisah menantikan keputusan tersebut. Selama itu juga papa tetap
mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada mama. Julia sendiri
tidak pernah mempertikaikan pengorbanan dan keprihatinan papa terhadapnya dan
mama. Papa sering bercakap-cakap dengan mama walaupun tiada balasan dari mama.
Papa turut menyatakan harapannya supaya Julia mendapat keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan SPM dan berjaya menyambung pelajaran di universiti sehingga
memperoleh segulung ijazah seperti yang diperoleh oleh papa terdahulu. Rasylan pula menyahut cabaran untuk
berjumpa papa. Rasylan banyak bertanya tentang perihal mama yang ada kalanya
menguris perasaan papa. Papa kemudiannya menceritakan kisah ibu bapanya setelah
mengetahui latar belakang ibu bapa angkat Rasylan. Menurut papa, dia sudah
mengenali ayah angkat Rasylan, Datuk Mustakim, sejak Julia berumur empat
tahun lagi. Pada masa itu, Datuk Mustakim telah melanggar kedua-dua ibu
bapa papa sewaktu mereka pulang daripada sembahyang sunat tarawih di surau.
Ayah papa telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala emaknya pula
disahkan lumpuh buat selama-lamanya. Rasylan cuba untuk mengaturkan
pertemuan papa dengan ayah angkatnya itu, tetapi papa menolak kerana
kemungkinan dia masih lagi marah kepada Datuk Mustakim yang telah mengakibatkan
kematian ibu bapanya.
BAB 14
Ketika Julia dan Rasylan keluar bersama, Rasylan mengatakan
bahawa papa Julia seorang yang sombong. Julia mula berasa berang dengan kenyataan
Rasylan itu dan bertanya sebabnya kepada Rasylan. Rasylan memberikan
pendapatnya bahawa kedudukan papa sebagai pensyarah di salah sebuah universiti
tempatan yang berkelulusan daripada universiti luar negara, telah menyebabkan
sikapnya menjadi hidung tinggi. Menjelang senja, barulah Julia
pulang ke rumah. Di rumah, Julia mendapati Mak Cik Noraini sedang berada di
dapur. Papa pula menyindir Julia tentang Rasylan. Papa menyatakan bahawa dia
tidak suka Julia berkawan dengan Rasylan. Selepas Solat Maghrib, Julia
memberanikan diri menanyakan punca tindakan papa tidak merestui hubungannya
dengan Rasylan. Menurut papa, latar belakang seseorang itu terutamanya dari
sudut asal keturunan amat penting dalam sesuatu hubungan. Namun demikian, Julia
masih belum berpuas hati dengan penjelasan papa, tetapi dia terpaksa menerima
permintaan papa walaupun dengan berbohong demi menjaga hubungan baiknya dengan
papa.
BAB 15
Julia dan Rasylan mendapat keputusan yang cemerlang dalam
SPM. Mereka ingin meraikan kejayaan itu di Starbucks Coffee di sebuah bangunan
pasar raya. Sewaktu mereka sedang melintasi deretan kereta berhampiran pasar
raya itu, Julia terpandang kereta Honda CRV milik papa. Julia berasa bimbang
kerana takut akan pertemuannya denga Rasylan diketahui papa. Julia terpandang
satu pasangan di dalam sebuah restoran yang berhampiran dengan tempat letak
kereta papa. Julia tidak menyangka yang dia akan menemui pasangan itu yang
asyik makan sambil berbual-bual dan tersenyum serta kadang kala ketawa. Pada petang itu, Julia pulang ke
rumah denga perasaan tidak tenteram dan dendam yang tidak membuak-buak. Papa
kelihatan ceria dan gembira menyambut kepulanganya. Papa mengucapkan tahniah
atas kejayaanya dalam peperiksaan SPM. Papa menanyakan universiti yang akan
dipilih oleh Julia untuk menyambung pelajarannya. Julia mengatakan bahawa dia
berminat menyambung pengajian peringkat matrikulasi di Universiti Islam
Antarabangsa (UIA) kerana pendidikan agama lebih dititikberatkan di situ. Papa meminta Julia menjelaskan sebab
pilihan itu dibuat. Julia menjelaskan bahawa setiap wanita Islam wajib menutup
aurat dari pandangan lelaki yang bukan mahram. Julia juga turut menyentuh isu
poligami dalam perbincangan tersebut. Wajah papa berubah sebaik sahaja Julia
menyebutkan perkataan poligami. Julia menolak saranan papa untuk
mendapatkan tempat bagi Julia di UIA dengan pertolongan kawan papa di
kementerian. Julia juga menyatakan bahawa dia berminat untuk membuat
pengkhususan dalam bidang ekonomi dan berharap akan menjadi seorang pakar
ekonomi pada suatu hari nanti.
BAB 16
Papa memberitahu mama tentang impian Julia yang ingin
memasuki Kolej Matrikulasi di UIA. Kata papa, Julia akan mengambil kursus
ekonomi dan ingin menjadi pakar ekonomi yang disegani dan dihormati kelak. Permohonan Julia untuk ke Kolej
Matrikulasi, UIA telah diterima. Papa akan menemani Julia mendaftar di UIA.
Sebelum meninggalkan rumah, Julia ingin menemui mama terlebih dahulu dan
menceritakan hal tersebut kepada mama. Setibanya di bilik mama, Julia terdengar
papa berbicara dengan mama. Hati Julia tersentuh apabila mendengar kata-kata
papa. Julia tahu pastinya papa akan kesunyian setelah ketiadaanya. Malah, Julia
juga bimbang akan kegemaran papa kini yang suka bercakap berseorangan dengan
mama yang masih lagi koma. Julia seterusnya berjanji kepada papa yang dia akan
pulang ke rumah menemani papa dan mama pada setiap hujung minggu sekiranya
tiada tugasan atau halangan. Papa menghantar Julia untuk
pendaftaran pada hari pertama. Julia ditempatkan di Asrama Siti Khadijah.
Sebelum naik ke biliknya, Julia berjumpa dengan Rasylan yang juaga menuntut di
UIA. Dia ditempatkan di Asrama Usman bin Affan. Rasylan menyatakan bahawa dia
serba kekurangan terutamanya kasih sayang berbanding dengan Julia yang sering
dilindungi oleh papa. Julia pula hanya mendengar keluhan Rasylan tanpa berkata
apa-apa. Julia memberitahu Rasylan bahawa dia akan pulang ke rumah
pada hujung minggu ini kerana merindui papa, mama dan Mak Cik Noraini. Rasylan
pula mengatakan bahawa dia tidak akan pulang ke rumah kerana Datuk Mustakim dan
keluarganya tidak ada di rumah. Mereka sekeluarga akan menziarahi anak lelaki
Datuk Mustakim yang sedang belajat di MCKK. Rasylan berasa kesunyian dan
nasibnya amat berbeza dengan Julia. Julia cuba memujuk Rasylan dengan
menyatakan bahawa dia akan sentiasa memujuk Rasylan dengan menyatakan bahawa
dia akan sentiasa berada di sisi Rasylan dalam menghadapi segala dugaan. Pada keesokan harinya, Rasylan
menemani Julia membeli buku di MPH Mid Valley. Selepas membeli empat buah buku,
Julia mengajak Rasylan ke Starbucks Coffee. Teguran Rasylan terhadap cara
Julia berbelanja, menyebabkan Julia teringat akan teguran papa ketika
mama berbelanja. Setibanya di kedai itu, Julia terpandang seorang lelaki dan
seorang perempuan yang amat dikenalinya sedang duduk minum sambil berbual
dengan begitu mesra sekali.
BAB 17
Julia pulang ke rumah tanpa bertemu dengan Rasylan terlebih
dahulu. Dia sudah tidak sabar untuk menemui mama yang masih tidur dengan lena
dan dia juga ingin bertanya kepada papa tentang hubungan yang sebenarnya antara
papa dengan gadis tersebut. Setibanya di rumah pada petang
sabtu, Julia terus mendapatkan papa lalu memeluk dan mencium papa. Mak Cik
Noraini yang melihat kelakuan papa dan Julia yang dirasakannya agak kurang
sopan, terus menegurnya. Katanya, sebagai sebagai anak dara, Julia tidak
sepatutnya duduk terlalu rapat dengan papa kerana takut berlaku perkara yang
ditegah oleh papa. Papa mengakuinya lalu terus memohon maaf. Di dalam biliknya, Julia teringat
akan pertemuan papa dengan gadis itu dan memikirkan apa hubungan papa
dengannya. Dia tidak pasti sekiranya papa ingin mengambil gadis tersebut
sebagai pengganti mama. Selesai menunaikan solat, Julia
berdoa supaya Allah memanjangkan umur mama dan memberikan kesempatan sekali
lagi buat mama supaya kebahagian mereka sekeluarga akan sama seperti dahulu.
Julia kemudiannya ke bilik mama. Julia melihat papa sedang membaca Surah Yassin
untuk mama dan seterusnya memohon daripada Allah supaya mama selamat. Julia
begitu tersentuh dengan segala pengorbabanan yang dilakukan oleh papa terhadap
mama. Kini papa banyak meninggalkan sebilangan besar aktiviti semata-mata ingin
menjaga mama. Tubuh papa juga semakin kurus dan kulit mukanya juga semakin
menampakkan dirinya sudah tua. Keesokannya papa menghantar Julia
kembali ke UIA. Papa memberikan sejumlah wang yang banyak kepada Julia kerana
Julia tidak akan pulang pada minggu hadapan. Sewaktu makan malam, Rasylan
menemui Julia dan bertanyakan kesihatan mama dan mereke turut berbincang
tentang tugasan yang perlu disiapkan. Pada hari minggu, semasa Julia
sedang sibuk dengan tugasannya, panggilan telefon papa menggangunya. Pada
mulanya Julia enggan menjawab panggilan tersebut, tetapi apabila memikirkan
kalau-kalau papa menelefonnya kerana ingin memberitahu tentang mama, Julia
terus menjawabnya. Tidak lama selepas itu, Rasylan pula yang menelefon Julia
dan mengajaknya A&W di Seksyen 17. semasa ingin menemui Rasylan, Julia
melihat Encik Muaz al-Khalibi menahan Rasylan dan bercakap-cakap dengannya.
Rasylan kemudiannya menjelaskan kepada Julia bahawa dia diminta oleh Encik Muaz
al-Khalibi yang berasal dari Jordan itu supaya melakukan ujian DNA kerana wajah
Rasylan dikatakan mirip wajahnya. Julia pula tiba-tiba teringat akan pesanan
papa supaya tidak bergaul dengan Rasylan kerana mereka tidak tahu akan asal
keturunannya. Semasa tiba di Restoran A&W, Julia tersentak dan terkaku
apabila melihat kereta papa. Julia mencari-cari papa dan hatinya terluka
apabila terpandang pasangan yang sama pernah ditemuinya sedang berada di
bahagian hujung yang agak terpencil di dalam A&W. Julia terus mengajak
Rasylan supaya terus beredar dari situ. Rasylan tidak membantah dan memujuk
Julia agar memberikan kesempatan kepada papa untuk menjelaskan perkara yang
sebenarnya.
BAB18
Minggu yang berikutnya, Julia pulang ke rumah tanpa
memberitahu papa dan Mak Cik Noraini terlebih dahulu. Hasrat Julia untuk
memeranjatkan Mak Cik Noraini supaya dia melatah tidak kesampaian apabila
terdengar perbualan papa dengan Mak Cik Noraini tentang perkahwinan kedua papa.
Mak Cik Noraini bersetuju dengan hasrat papa itu. Bagaimanapun, papa risau akan
keputusan dari Julia nanti. Julia terus menuju ke biliknya.
Sambil menangis, dia berdoa supaya perkara itu tidak terjadi. Selepas itu,
Julia turun semula ke ruang tamu dan mendapati papa sedang membaca majalah
kesukaannya. Julia memulakan bicara tentang topik poligami yang dibaca oleh
papa pada masa itu. Julia sengaja bertanya papa tentang Aisyah dan menyatakan
dia pernah melihat papa keluar berdua-duaan dengan Aisyah di beberapa tempat.
Kenyataan Julia itu membuat papa menjadi marah, dan papa menuduh Julia suka
merayau daripada belajar. Malah papa juga mempersoalkan tempat makan yang
dikatakan oleh Julia. Seterusnya Julia meminta kepastian
daripada papa tentang hasratnya untuk berkahwin lagi. Bagi Julia, mama masih
lagi hidup dan memerlukan perhatian papa. Baginya lagi, tindakan papa untuk
berkahwin lagi adalah satu tindakan khianat dan curang kepada mama. Kata-kata
dan pernyataan Julia kemudiannya dibalas dengan tamparan oleh papa. Julia terus berlalu ke biliknya
dengan juraian air mata tanpa sebarang pujukan. Keesokannya, Julia terus
kembali ke asramanya tanpa bersarapan dengan papa. Ketika melangkah keluar,
Julia sempat melihat wajah papa yang penuh kekesalan.
BAB 19
Rasylan memujuk dan menasihati julia supaya menerima
kenyataan dan membenarkan papa berkahwin lagi. Pada pendapat Rasylan, papa
memerlukan seseorang yang boleh berkongsi segala-galanya dengannya. Walau
bagaimanapun, Julia masih tidak dapat menerima kenyataan ini menyebabkan
tumpuan terhadap pelajarannya terganggu. Dia tidak sanggup berkongsi kasih
sayang papa dengan perempuan lain. Rasylan memaklumkan bahawa keputusan
ujian DNAnya adalah positif. Darahnya dengan darah Encik Muaz al-Khalibi adalah
dari kelompok yang sama. Hal ini bermakna dia ialah anak kepada Encik Muaz
al-Khalibi. Rasylan tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Rasylan berasa
sedih dengan nasibnya yang dipelihara di rumah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Begitu juga dengan namanya yang berbinkan Abdullah dan bukannya berbinkan Muaz
al-Khalibi. Julia tidak pulang ke rumahnya selama dua minggu
berturut-turut. Julia bertindak begitu kerana hatinya masih terluka dan
tersinggung oleh tindakan papa, dan bukannya kerana dia tidak mengingati mama. Hampir setengah jam Julia menunggu
Rasylan di Laman Budaya, akhirnya dia melihat Rasylan bersama seorang lelaki,
iaitu Encik Muaz al-Khalibi, yang sedang membincangkan sesuatu. Tidal lama
selepas itu, Rasylan menghampiri Julia dan memaklumkan kedatangan papa ke kolej
untuk berjumpa Julia. Menurutnya, papa hendak membincangkan perkara mustahak
dengan Julia. Setelah dinasihati oleh Rasylan, Julia terus menemui papa. Papa membawa Julia ke Cofee House
Hotel Paya Serai yang sering dikunjungi oleh Julia dan Papa serta Mama sewaktu
mama masih sihat. Papa meminta persetujuan Julia untuk berkahwin dan menyatakan
rasionalnya dia berbuat sedemikian. Pada mulanya Julia menentang permintaan
papa itu tetapi selepas papa memaklumkan kesihatannya, dengan mudah sahaja
Julia menyatakan persetujuannya. Keputusan yang dibuatnya itu adalah
semata-mata untuk kesejahteraan papa dan kebahagian mereka sekeluarga.
BAB 20
Rasyalan menceritakan asal usulnya kepada Julia. Ibu Rasylan
ialah warga Indonesia yang bekerja sebagai pengemas bilik Encik Muaz
al-Khalibi. Mereka mengadakan hubungan sulit kerana desakan hawa nafsu
sehinggalah ayahnya, Encik Muaz al- Khalibi tamat belajar dan meninggalkan
ibunnya yang mengandungkan Rasylan keseorangan. Setelah Rasylan dilahirkan,
ibunya telah meninggalkannya berhampiran dengan longkang yang menghala ke
sebuah masjid di bandar Klang. Ibu Rasylan kemudiannya pulang ke Indonesia dan
tiada siapa pun yang tahu tentang kehidupannya kini. Rasylan juga tidak
berhasrat untuk mencari ibunya itu. Bagi Rasylan, ayahnya ialah Datuk Mustakim
yang telah menjaga dan membesarkannya dan bukannya Encik Muaz al-Khalibi. Papa menelefon Julia untuk
mengajaknya keluar minum dan ingin memperkenalkan bakal isteri keduanya. Julia
terpaksa menerima pelawaan papa itu dengan berat hati. Papa memperkenalkan
Aisyah sebagai bakal ibu tirinya. Papa membawa mereka minum bersama di sebuah
hotel. Papa meminta Julia pulang pada hujung minggu nanti untuk menemaninya
sewaktu majlis nikah pada malam tersebut. Selepas solat Maghrib, papa bersiap
untuk melangsungkan pernikahannya. Julia yang berada di sisi mama ketika itu
tidak mempedulikan papa. Pada hakikatnya, dia tidak rela papa berkahwin lain,
tetapi demi kebahagian dan keselamatan papa, Julia merelakannya jua. Julia
seolah-olah terdengar bisikan keizinan mama dan mengharapkan hidup mereka
berdua tidak akan disia-siakan papa. Papa mengatakan yang dia akan
membatalkan majlis pernikahan yang sudah diatur sekiranya Julia tidak
mengizinkan. Namun begitu, Julia meminta supaya papa meneruskannya kerana
upacara itu sudah lama dirancang dan dia akan menjaga mama bersama Mak Cik
Noraini. Julia mengiringi pemergian papa dengan senyuman dan air mata
yang mengalir deras. Mak Cik Noraini hanya tersenyum tetapi kelihatan secalit
kekesalan di wajahnya.
BAB 21
Sewaktu Julia sedang duduk menunggu Rasylan, dia didatangi
seorang pemuda yang bernama Jeffri. Jeffri berwajah seiras papa tetapi usianya
kelihatan lebih muda daripada papa. Jeffri menasihati Julia supaya menerima
keputusan papa untuk berkahwin lagi dengan hati yang ikhlas dan reda demi
kebahagiaan keluarganya. Julia akhirnya reda dengan perkahwinan papa manakala
Jeffri pula mengucapkan terima kasih kepada Julia. Julia tersedar daripada mimpinya
apabila seseorang mencium keningnya. Julia melihat papa bersama dengan isteri
barunya, Mak Cik Aisyah berada di sisi Julia. Papa memberitahu bahawa Julia
diserang demam panas lalu membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Julia memberitahu papa bahawa dia bermimpi berjumpa denganseorang lelaki yang
bernama Jeffri. Doktor yang datang merawat Julia menasihatinya supaya tidak
terlalu mengikut kata hati, sentiasa bertenang dan menerima segala takdir Allah
denga hati yang reda. Papa dan isteri barunya itu memandangnya sambil
tersenyum. Julia kemudiannya tertidur semula setelah disuntik oleh doktor.
BAB 22
Julia terlantar di hospital selama tiga hari dan selama itu
juga, dia tidak dapat menjaga mama. Doktor Razif yang merawatnya menjelaskan
bahawa Julia telah mengalami kejutan yang sama dahsyatnya denga trauma orang
yang mengalami kemalangan dan turut menumpang masalah orang lain. Doktor
menasihatinya supaya bertenang dan menerima segala-galanya dengan hati yang
terbuka. Papa dan Mak Cik Aisyah datang melawat dan menjemputnya
pulang setelah dibenarkan oleh doktor. Setibanya di rumah, mak Cik Noraini
menyambutnya dengan celoteh yang tidak berhenti-henti, membuat Julia berasa
terhibur. Sebaik sahaja cuti pertengahan semester tamat, papa dan Mak
Cik Aisyah menghantar Julia ke kampus matrikulasi. Walaupun Mak Cik Aisyah
menunjukkan sifat penyayang dan cuba memahami emosi Julia, namu Julia masih
belum dapat menerimanya dengan sepenuh hati. Julia memaklumkan bahawa dia tidak
balik dalam dua atau tiga minggu kerana ingin menumpukan perhatian kepada pelajarannya
bagi menghadapi ujian semester pertama. Julia dan Rasylan menghadapi
peperiksaan akhir bagi menentukan sama ada mereka akan ditempatkan di kampus
induk UIA di Gombak ataupun tidak. Julia berharap hasratnya dan hasrat mama dan
papa itu akan termakbul. Julia dan Rasylan juga yakin bahawa mereka akan
mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Julia pulang ke rumah untuk bercuti
selama enam minggu sesudah peperiksaan akhir berakhir. Semasa duduk
berbual-bual dengan papa dan Mak Cik Aisyah di ruang tamu, Julia sengaja
bertanya papa tentang rancangan bulan madu papa dengan Mak Cik Aisyah tetapi
papa tidak dapat menjawabnya. Namun, Julia tahu papa sedang berbahagia dengan
isteri barunya itu. Hati Julia berasa terguris apabila melihat kemesraan papa
dengan Mak Cik Aisyah. Julia terdengar papa memarahi Mak
Cik Aisyah kerana memasuki bilik mama berseorangan. Papa tidak menyukai
perbuatan Mak Cik Aisyah itu kerana ditakuti akan berlaku sebarang musibah yang
tidak diingini. Papa hanya membenarkan Mak Cik Aisyah melawat mama sekiranya
bertemankannya atau Julia. Mak Cik Aisyah berasa kecewa apabila papa
mencurigainya. Mak Cik Aisyah menyatakan dengan ikhlas bahawa dia akan menjaga
papa, Julia serta mama dengan baik.
BAB 23
Julia nekad untuk melipatgandakan usahanya dalam
pembelajaran pada semester ketiga dan tidak mahu lagi memikirkan perkara yang
remeh-temeh. Dalam pada itu, Julia melihat perubahan pada diri Rasylan yang
semakin kacak dan sering menjadi tumpuan pelajar perempuan tidak kira sama ada
pelajar junior atau senior. Rasylan juga menyatakan perasaan cemburunya apabila
dia melihat Julia ditegur oleh pelajar senior. Namun begitu, bagi Julia itu
tidak penting. Yang penting adalah keinginanya untuk menimba ilmu. Semasa cuti pertengahan tahun semester
bermula, Rasylan dan Julia pulang bersama-sama menaiki bas awam. Dalam
perjalanan, mereka bercakap tentang tawaran Encik Muaz al-Khalibi kepada
Rasylan. Rasylan menyatakan bahawa dia tidak akan memberitahu Datuk Mustakim
tentang tawaran tersebut dan dia sendiri tidak akan menerimanya. Baginya,
tawaran itu sudah tidak beerti lagi. Rasylan tidak dapat menerima Encik Muaz
al-Khalibi yang mengabaikan tanggungjawabnya dahulu, sebaliknya amat berhutang
budi kepada Datuk Mustakim yang telah mengambilnya sebagai anak angkat. Julia pula berjanji dan menyakinkan
Rasylan bahawa dia tetap akan bersama Rasylan walaupun apa sekalipun keputusan
Rasylan. Bagi Rasylan pula, janji yang dilafazkan oleh Julia itu agak terlalu
awal kerana mereka tidak tahu apa takdir mereka pada masa hadapan. Namun
begitu, Julia tetap dengan pendiriannya walaupun Rasylan yang akan berubah
kelak.
BAB 24
Setibanya di rumah, Julia mendapati papa tiada di rumah. Mak
Cik Noraini menyatakan bahawa papa dan Mak Cik Aisyah di Kelana Jaya. Julia
yang sudah mengetahui Mak Cik Aisyah yang kini mengandung, turut berasa gembira
kerana dia sudah dapat menerima Mak Cik Aisyah dan akan melahirkan adik
kepadanya sebagai penganti kepada Ahmad dan Muhammad. Mak Cik Aisyah menegur Julia apabila
melihat wajah Julia yang berserabut dan tidak ceria. Dia bertanya kepada Julia
jika Julia mempunyai masalah dan mahu berkongsi masalah dengan Julia. Julia
menceritakan masalahnya kepada Mak Cik Aisyah. Mak Cik Aisyah menasihati Julia
supaya pandai menjaga perasaan dan tahu membezakan antara yang baik dengan yang
kurang baik dan apa yang tidak baik langsung. Dia juga menasihati Julia supaya
berkompromi dalam hubungannya. Perbualan Julia dengan Mak Cik Aisyah terhenti apabila papa
memaklumkan Rasylan menelefon Julia. Pada mulanya, Julia enggan menjawab
panggilan Rasylan itu tetapi papa menegurnya supaya menjawabnya dan
menyelesaikan masalah Julia dan Rasylan. Akhirnya, Julia akur. Rasylan mengajak Julia berjumpa
untuk membincangkan hal mereka. Julia menolak dengan alasan dia ingin menjaga
mama pada waktu cuti itu. Julia meminta Rasylan bersabar kerana mereka boleh
berjumpa setiap hari apabila semester baru bermula nanti. Akhirnya, Rasylan
mengalah dan menerima permintaan Julia asalkan Julia tidak meningalkannya bersendirian
untuk menghadapi dugaan hidup. Papa yang mendengar segala perbualan
Julia dengan Rasylan di telefon menyatakan yang dia akan menolong Julia
menolong Julia menukar universiti sekiranya Julia mahu. Julia menolak saranan
itu dengan baik, kerana baginya, dia akan tetap menghadapi masalah yang
mendatanginya.selepas selesai Solat Maghrib berjemaah, Julia dan papa masuk ke
bilik mama. Mereka terkejut apabila mama membuka mata dan mulutnya. Mama mula
menggerakkan jari-jemarinya dan menggoyangkan kakinya. Mak Cik Aisyah masuk ke
bilik apabila terdengar papa bercakap. Papa memperkenalkan Mak Cik Aisyah
kepada mama. Mama amat terkejut apabila mendengar segala keterangan papa.
Keadaan mama menjadi tidak stabil dan mama akhirnya menghembuskan nafasnya yang
terakhir. Papa menyembamkan mukanya ke rusuk mama. Julia, Mak Cik Noraini dan
Mak Cik Aisyah menangis dengan keadaan tersebut. Papa mengangkat mukanya
apabila dikejutkan oleh Julia dan perlahan-lahan membetulkan tangan mama. Papa
tewas juga akhirnya, apabila Julia melihat kelopak mata papa berair dan jatuh
ke pipinya buat kali pertamanya.
No comments:
Post a Comment