Novel Konserto Terakhir
Sinopsis
Bab 1 – Keluarga
Hayati tidak ada mood ( keinginan ) untuk belajar
piano pada hari itu kerana sering membuat kesalahan. Keadaan ini menimbulkan
salah faham antara Hayati dengan guru pianonya. Tiba-tiba muncul Hilmi di saat-saat
getir tersebut. Hilmi memperkenalkan dirinya sebagai dua pupu Hayati iaitu anak
Pak Karim dari Kedah. Hayati berasa gusar melihat gerak-geri Hilmi yang serba
canggung. Dia tidak pernah mengetahui bahawa bapanya masih mempunyai saudara di
kampung. Datin Salmah juga tidak menyenangi kehadiran Hilmi di rumahnya.
Sementara menunggu kepulangan Datuk Johari, Hilmi ditempatkan di sebuah bilik
berhampiran dengan bilik Pak Amat, drebar mereka. Kehadiran Hilmi telah
mengingatkan Datuk Johari tentang kampung halamannya yang telah ditinggalkan
selama tujuh belas tahun lalu. Hilmi menyatakan hasratnya untuk mencari
pekerjaan. Walau bagaimanapun, kelulusannya yang hanya setakat darjah empat
sekolah Melayu menyukarkan usaha Datuk Johari mencari pekerjaan untuknya.
Akhirnya Hilmi disuruh menjadi tukang kebun di rumahnya. Hilmi bekerja dengan
tekun membersihkan kebun itu. Dalam masa yang sama, perasaannya cemburu melihat
kemesraan antara Hayati dengan Mohsin.
Sinopsis
Bab 2 – Kuli
Hilmi gembira dengan pekerjaannya sebagai tukang
kebun. Dia telah melakukan perubahan yang besar di pekarangan rumah itu
sehinggakan mendapat pujian daripada Datuk Johari dan juga Dr. Nathan iaitu
jiran Datuk Johari. Hilmi berkawan baik dengan Pak Amat. Pak Amat pernah
menjadi penyelam mutiara di Darwin, Australia. Datuk Johari gelisah apabila Dr.
Nathan bertanyakan tentang tukang kebun barunya itu kerana dia tidak sampai
hati menganggap Hilmi sebagai tukang kebunnya. Hilmi amat tertarik dengan
mainan piano Hayati. Rumah Datuk Johari juga sering didatangi oleh saudara mara
Datin Salmah yang berpangkat. Dalam pada itu, Datin Salmah teringat akan
kata-kata kakaknya Siti Hajar tentang Hilmi kerana lambat laun orang akan
mengetahui bahawa Hilmi itu anak saudara Datuk Johari. Hasutan Siti Hajar itu
menimbulkan rasa gelisah di hati Datin Salmah dan dia berusaha mencari jalan
untuk mengusir Hilmi dari rumahnya.
Sinopsis
Bab 3 – Piano
Hilmi kecewa apabila dia mendapati tanamannya
dirosakkannya oleh kumbang. Dia telah melepaskan geramnya dengan memijak-mijak
kumbang-kumbang itu dengan tumitnya. Tindakan Hilmi itu ditegur oleh Hayati dan
menganggap dia seorang yang kejam. Akhirnya Hayati faham kenapa Hilmi
memusnahkan kumbang yang mengancam keselamatan tanamannya. Kadangkala Hayati
ikut bersama-samanya mencari kumbang dan ulat. Dua kali dalam seminggu iaitu
hari Sabtu dan Khamis, Hayati belajar bermain piano di rumahnya. Pada hari-bari
tersebut Hilmi akan mencari kerja yang dapat dibuatnya di depan rumah
berhampiran dengan ruang tamu. Pada kedua-dua hari tersebut keletihannya terasa
hilang, dan dia menunggu kedua-dua hari itu dengan penuh harapan kerana dia dapat mendengar lagu-lagu merdu
yang keluar dari hujung-hujung jari Hayati yang diletakkan di atas pianonya.
Lagu-lagu itu menjadi makanan rohaninya. Pada suatu hari Khamis, Hilmi gelisah
kerana Hayati belum pulang lagi. Rupa-rupanya Hayati dan Mohsin pergi menonton
wayang. Hati Datin Salmah mulai berubah terhadap Hilmi. Dia tidak lagi
menyebutnya sebagai tukang kebun tetapi sebagai kaum keluarganya. Datuk Johari
juga mulai bangga kerana tiap-tiap orang yang datang memuji-muji tanaman bunga
di rumahnya. Malah hasil tanaman seperti terung, kacang, timun, dan petola
telah berbuah dengan lebatnya dan menjadi satu kebanggaan pula kepada Datin
Salmah. Dia menghadiahkan hasil tanaman itu kepada teman-temannya apabila pergi
ke morning coffee dan juga ketika ada antara kawannya yang datang berkunjung ke
rumahnya, mereka pulang dengan membawa buah tangan. Datin Salmah gembira
mendengar pujian daripada kawan-kawannya.
Sinopsis
Bab 4 – Hukuman
Leha, penolong pembantu rumah telah pulang ke
kampung. Hilmi telah ditugaskan oleh Datin Salmah untuk membersihkan ruang
tamu. Hilmi amat senang hati menerimanya kerana dapat datang berhampiran dengan
piano. Suatu hari Hilmi keseorangan di rumah kerana Datin tidak ada di rumah,
manakala Hayati belum pulang dari sekolah, sementara Mak Minah keluar ke rumah
seorang kenalannya. Hilmi telah mencuba memainkan piano tersebut sehingga tidak
menyedari kepulangan Mak Minah. Perbuatan Hilmi itu ditegur oleh Mak Minah
kerana takut dimarahi oleh Datin Salmah. Kebimbangan Hilmi jelas terlihat
apabila Datin Salmah memanggilnya. Rupa-rupanya Datin Salmah menyuruhnya
mengambil bunga yang dibawa dari rumah kawannya. Hilmi juga berasa lega kerana Mak
Minah tidak memberitahu mak ciknya tentang perlakuannya tadi. Ketika Hayati
pulang dan hendak menghiburkan tetamunya iaitu pak cik dan mak ciknya, dia
menyedari pianonya telah rosak. Apabila dia meletakkan jari-jarinya pada
mata-mata piano dan membuat "intro"-nya dengan C minor, tiba-tiba
pada mata yang mengeluarkan nada “fa” nadanya begitu melenting. Peristiwa itu
telah menimbulkan kegemparan kecil. Datin Salmah mula mencari siapa yang
mengganggu piano itu. Ketika dipanggil oleh Datin Salmah, Mak Minah terpaksa
memberitahu yang Hilmi telah memainkan piano itu. Datin Salmah ingin mengambil
kesempatan dari peristiwa itu untuk mengusir Hilmi. Atas kebijaksanaan Datuk
Johari, Hilmi dimaafkan dan dipotong gajinya. Datin Salmah juga menyuruh Hilmi
memujuk Hayati dan memohon maaf daripadanya. Sementara itu, Datin Salmah
sekeluarga akan bercuti selama satu bulan. Mak Minah dan Pak Amat juga diberi
cuti balik ke kampung. Hilmi diminta untuk menjaga rumah tersebut sepanjang
peninggalan mereka. Hilmi amat kesunyian sepanjang ketiadaan mereka terutamanya
rasa kehilangan terhadap Hayati kerana sebulan lamanya dia tidak akan mendengar
lagu-lagu yang dimainkan oleh Hayati. Kehidupan Hilmi sepanjang waktu hanya
bertemankan bunga-bunga dan tanamannya sahaja.
Sinopsis
Bab 5 – Penunggu
Hilmi tidak ikut menghantar Datuk Johari dan
keluarganya berangkat ke luar negeri. Dia memuatkan barang-barang yang mahu
dibawa ke dalam motokar. Datuk Johari berpesan supaya menjaga rumah dengan
baik. Datin Salmah pula tidak bercakap sepatah pun dengannya. Dia sibuk
bercakap dengan orang lain. Sepeninggalan mereka, Hilmi mendapat simpati jiran
Datuk Johari, iaitu Dr. Nathan. Mamat kawan baiknya iaitu drebar Dr. Nathan
juga balik ke kampung. Hilmi sibuk mengemaskan rumah Datuk Johari. Hidupnya terasa
bebas. Dia menjadi tuan rumah dan dia juga menjadi raja. Setelah selesai
mengemas, Hilmi masuk ke bilik mak ciknya. Dia amat terkejut kerana bilik itu
seperti sebuah syurga. Dari bilik mak ciknya, dia pergi pula ke bilik Hayati.
Seolah-olah perasaannya amat dekat dengan Hayati. Dia amat merindui Hayati.
Hilmi masuk pula ke bilik tamu. Di ruangan tamu, matanya tertumpu pada piano.
Keinginannya untuk bermain piano begitu kuat dan meronta-ronta di dalam dirinya
tetapi dia tidak berani menyentuhnya. Akhirnya dia menuju ke biliknya.
Tiba-tiba Hilmi teringat kucing Siam kesayangan Hayati. Dia masuk ke dalam
rumah mencari kucing itu. Dia membawa kucing itu ke dapur dan diberi makan ikan.
Dalam pada itu, Mamat, drebar Dr. Nathan telah balik dari kampung dan membawa
bersama isterinya Esah. Esah telah diperkenalkan oleh Mamat kepada Hilmi. Mamat
mengajak Hilmi makan bersama-samanya. Esah juga telah bekerja sebagai tukang
masak di rumah D. Nathan. Hilmi berasa kecewa. Dia mengharapkan bila Mamat
balik dari Kelantan dia mahu mengajak Mamat tidur bersama-sama menemaninya.
Mamat telah memperkenalkan Hilmi dengan Encik Bakar, seorang ketua sebuah
quartet. Encik Bakar menyuruh Hilmi bermain organ dan Hilmi telah mendapat
pujian daripada Encik Bakar. Encik Bakar mengajar Hilmi muzik secara percuma.
Hilmi amat gembira mendengar kata-kata Encik Bakar kerana pada sangkaannya
Encik Bakar akan mengenakan bayaran kepadanya. Justeru, Hilmi pada mulanya
kurang senang kerana setiap kali dia pergi ke rumah Encik Bakar, dia akan meninggalkan
rumah pak ciknya. Dia berasa bersalah kerana telah melanggar janji-janjinya
pada pak ciknya. Walau bagaimanapun kerana minat yang amat mendalam terhadap
muzik, Hilmi terpaksa melakukannya. Hilmi telah belajar dengan tekun dan Encik
Bakar juga telah mengajarnya tentang not-not muzik.
Sinopsis
Bab 6 – Muzik
Hilmi berasa bertuah kerana dapat belajar muzik
dengan Encik Bakar. Sebaik sahaja pulang dari rumah Encik Bakar, Hilmi
menjalankan tugas biasanya seperti menyiram pokok-pokok bunga. Hilmi juga mendapat
sokongan dan galakan yang kuat daripada Mamat dan isterinya. Setelah kembali
dari bilik Mamat kerana berbual-bual dengan mereka, Hilmi balik ke rumah. Hilmi
terus ke sudut di mana terletaknya piano dan memainkannya. Tanpa disedari Datuk
Johari dan keluarganya telah kembali dari luar negeri. Hayati terpesona melihat
Hilmi bermain piano. Datin Salmah terpegun. Datuk Johari tegak tidak bergerak.
Akhirnya dia menyedari seperti diperhatikan. Lantas terperanjat kerana tidak
menyedari kepulangan pak ciknya sekeluarga. Hilmi bergegas membawa masuk
beg-beg yang banyak dan terus kembali ke dalam biliknya. Hilmi dikejutkan
dengan kedatangan Hayati yang membawa oleh-oleh untuknya yang berupa sebuah
patung wanita dengan pakaian gaun kembang zaman kuno. Patung itu juga boleh
mengeluarkan bunyi lagu “Blue Danube”. Hubungan mesra Hilmi dan Hayati tidak
disenangi oleh Datin Salmah. Lebih-lebih lagi apabila Hayati membeli oleh-oleh
kepada Hilmi. Sedangkan selama perjalanan mengelilingi England itu, tidak
pernah sekalipun disebutnya nama Hilmi. Hayati Cuma menyebut nama Mohsin
sahaja. Naluri keperempuanan Datin Salmah merasakan ada sesuatu yang tidak kena
pada Hayati.
Sinopsis
Bab 7 – Oleh-oleh
Mohsin terperanjat apabila mendengar kepulangan
Hayati dan kesal kerana dia tidak dapat menjemput Hayati di lapangan terbang.
Sebelum ke pejabatnya Mohsin singgah dahulu ke rumah Hayati. Ketika Datin pergi
memanggil Hayati dia terlihat Hayati sedang berdiri amat dekat dengan Hilmi
memerhatikan sesuatu di pokok ros. Hayati tidak menghiraukan panggilan ibunya
kerana asyik bercerita kepada Hilmi tentang perjalanan mereka di England,
tentang konsert muzik yang disaksikannya di Vienna, tentang pemandangan yang
indah di kebun tulip di negara Belanda. Hayati juga senang mendengar cerita Hilmi
tentang bunga-bunganya. Apabila diberitahu tentang kedatangan Mohsin, Hayati
tidak berminat untuk mengetahuinya. Hayati hanya mencecah dengan hujung jarinya
sahaja apabila Mohsin menghulurkan tangannya. Hayati telah menghadiahkan neck
tie ( tali leher ). Mohsin juga terasa ada sesuatu yang aneh pada gerak-geri
Hayati tetapi dia tidak berapa pasti. Hayati selalunya gembira menyambut
kedatangannya tetapi tidak sekarang ini. Sebaik sahaja Mohsin keluar dari rumah
itu, Hayati terus masuk berkurung di dalam biliknya. Datin Salmah semakin
gelisah dan hatinya mulai percaya bahawa perubahan perangai anaknya itu mesti
ada sangkut paut dengan dukun. Mesti ada anasir-anasir jahat memainkan
peranannya. Suaminya tidak mudah percaya dengan cerita karut serupa itu, lebih-lebih
lagi apabila membabitkan anak penakannya sendiri. Datin Salmah memanggil Hayati
untuk mendapat penjelasan daripadanya tetapi anaknya itu telah menjawab dengan
kasar menyebabkan Datin Salmah memberi amaran dan Hayati tidak dibenarkan
bercakap lagi dengan Hilmi. Datin Salmah juga sudah nekad untuk mencari jalan
supaya Hilmi keluar dari rumahnya.
Dalam pada itu, Mak Minah datang pada petang itu dari kampung setelah Datin Salmah menelefon kepadanya melalui Balai Polis Lenggeng. Dia membawa oleh-oleh dari kampung yang Hayati gemari. Hayati pula menghadiahkan Mak Minah jam tangan kecil buatan Swiss. Mak Minah amat gugup mendapat jam baru. Dia teringat setiap kali Hayati pulang dari tempat-tempat yang jauh setiap kali itu pula ada oleh-oleh untuknya.
Dalam pada itu, Mak Minah datang pada petang itu dari kampung setelah Datin Salmah menelefon kepadanya melalui Balai Polis Lenggeng. Dia membawa oleh-oleh dari kampung yang Hayati gemari. Hayati pula menghadiahkan Mak Minah jam tangan kecil buatan Swiss. Mak Minah amat gugup mendapat jam baru. Dia teringat setiap kali Hayati pulang dari tempat-tempat yang jauh setiap kali itu pula ada oleh-oleh untuknya.
Sinopsis
Bab 8 – Sengketa
Hilmi ke rumah Encik Bakar. Kedatangannya itu
disambut oleh Azizah, anak Encik Bakar. Sebaik sahaja Hilmi melangkah masuk,
Azizah menutup pintu. Azizah cuba menggoda Hilmi. Mula-mula Hilmi agak kekok
tetapi lama-kelamaan sudah tidak terasa apa-apa baginya duduk satu bangku
dengan Azizah dan bersentuhan badan. Tiba-tiba Azizah tersentak apabila
mengetahui yang Hilmi hanya tukang
kebun bapa saudaranya sahaja. Pada sangkaannya Hilmi itu paling tidak seorang
kerani kecil atau seorang guru. Hilmi kemudian terus meminta izin untuk pulang.
Apabila menghampiri rumah bapa saudaranya, perasaan Hilmi gementar kerana
terdapat tiga motokar asing di depan pekarangan rumah itu. Hilmi masuk dari
pintu kecil di sebelah belakang. Mak Minah datang memberitahunya bahawa Datin
Salmah heboh mencarinya. Ketika Hilmi sedang menyiram bunga-bunga yang terletak
di bahagian anjung depan rumah itu, Datin Salmah datang dengan marah
bertanyakan ke manakah dia pergi. Hilmi meminta maaf daripada mak ciknya dan
berlalu pergi. Setelah selesai semuanya, Hilmi pun mandi dan terus masuk ke
dalam biliknya. Dia teringatkan peristiwa yang berlaku antara dia dengan
Azizah. Dalam pada itu, ketika Encik Bakar pulang, Azizah memberitahu
kedatangan Hilmi. Encik Bakar berpesan kepada Mamat supaya memberitahu Hilmi
yang dia akan pergi ke rumah adik iparnya di Klang. Dia meminta Mamat
menyampaikan pesan supaya Hilmi datang besok. Azizah juga cuba memberitahu
bapanya tentang pekerjaan Hilmi sebagai tukang kebun tetapi bapanya tidak mengendahkan
berita itu. Dia tahu Azizah kecewa kerana pada anggapannya Hilmi tidak setaraf
dengannya. Azizah lulusan MCE dan sedang mencari kerja. Paling rendah pasangan
yang ingin dicarinya ialah kerani. Bagi Encik Bakar untuk menjadi ahli muzik
bukan perlu persekolahan tinggi. Ilmunya jika tidak diajarkan kepada orang,
habislah reput dengan tulang-belulang di dalam kubur nanti. Azizah terdiam dan
berasa kesal akan sikapnya itu terhadap Hilmi. Namun begitu, perkara lain
berlaku di rumah Datuk Johari. Hilmi tidak mahu makan makanan yang dibawa oleh
Mak Minah kerana kecewa apabila diberitahu bahawa mak ciknya tidak membenarkan
Mak Minah memanggilnya makan. Mak Minah meletakkan makanan itu di atas meja
kecil dan balik ke dapur mengambil tudung saji dan air minum. Hayati muncul
bersama-sama Mak Minah untuk memujuk Hilmi makan. Hayati bangun dan duduk di
sebelah Hilmi. Hilmi memandang Hayati dengan perasaan pilu. Dia bingung dengan
sikap yang diperlihatkan oleh Hayati. Selama ini dia menyangka Hayati tidak
pernah mempedulikannya, Hilmi akhirnya menyuruh Hayati keluar. Mak Minah cuba
menenangkan Hilmi dan menasihatinya supaya jangan terlalu ambil hati terhadap
sikap mak ciknya. Hilmi kemudiannya keluar untuk berjumpa Mamat dan meminta
pertolongannya mencari tempat untuknya berpindah dari rumah Datuk Johari.
Sinopsis
Bab 9 – Pertemuan
Setelah dua hari Hilmi tiada di rumah barulah Datin
Salmah menyedari bahawa kehadiran Hilmi selama ini mempunyai erti besar kerana
adanya Hilmi di rumah itu, dia tidak perlu memikirkan sedikit pun tentang
tanaman bunganya. Sami yang dihubungi oleh Datuk Johari tidak dapat datang
bekerja, paling cepat akhir bulan. Dalam tempoh 12 hari itu, Datin Salmah
mengerahkan Mak Minah, Pak Amat, dan Hayati sendiri untuk menolongnya menyiram
bunga-bunga itu pada waktu petang. Hayati kini tidak mahu bercakap dengan
ibunya sejak diketahui Hilmi telah pergi. Dia asyik berkurung di dalam bilik
sahaja. Hayati kecewa kerana pada hari itu setelah pulang dari sekolah, dia
mahu memberikan Hilmi tiket untuk menonton permainan piano seorang pianist
dunia yang terkemuka yang akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Hayati
amat kecewa apabila diberitahu oleh Mak Minah bahawa Hilmi telah pulang ke
kampung. Tetapi Hayati tahu itu merupakan
helah ibunya yang sememangnya tidak suka Hilmi tinggal di situ. Datin Salmah
kemudian memujuk Hayati dan menyatakan bahawa Hilmi akan datang lagi selepas
itu. Datin Salmah juga mulai risau tentang perubahan yang berlaku pada Hayati.
Matanya sudah mulai cengkung, makannya sudah tidak banyak lagi. Dia bercadang
untuk menyatukan Hayati dan Mohsin seberapa segera. Hayati boleh melanjutkan
pelajarannya di England dan Mohsin pula boleh menyambung pelajaran tetapi
Hayati menolak. Apabila ditanya oleh Mohsin tentang perubahan Hayati mereka membuat
alasan keadaan Hayati yang murung dan susut tubuhnya itu kerana teringatkan
Mohsin. Dalam pada itu, Mamat menghantar Hilmi ke tempat bas. Hilmi amat
gelisah. Bapanya sebenarnya tidak sakit. Surat yang diperlihatkan kepada pak
ciknya itu ialah surat yang ditulis oleh Mamat. Dia amat risaukan Hayati. Hilmi
teragak-agak mahu naik atau tidak. Akhirnya dia ikut naik. Waktu bas itu
meninggalkan Tanjung Malim setelah berhenti rehat selama 30 minit, salah satu
kerusi bas itu telah kosong. Hilmi tidak dapat menahan tekanan perasaannya.
Dengan sebuah teksi dia pulang semula ke Kuala Lumpur. Hilmi terus berjalan
mencari kerja. Dia menuju ke kios tempat jualan minyak. Dia tahu
sekurang-kurangnya dia dapat menjadi pekerja sementara dengan gaji harian
sebanyak dua ringgit setengah. Hilmi juga diberikan sebuah kanvas dan
dibenarkan tidur bersama-sama dengan seorang penjaga malam.
Hilmi bekerja dengan rajin dan berdoa supaya pak cik atau mak ciknya jangan datang mengisi minyak di situ. Walau bagaimanapun, Hilmi telah terserempak dengan Mohsin. Mohsin telah menghasut tauke kedai minyak itu supaya membuang Hilmi tetapi tauke itu tidak mempedulikannya. Minggu pertama di bulan kedua bekerja di situ, Hilmi bertekad berjumpa semula dengan Encik Bakar. Dalam perjalanannya dia telah bertemu Pak Amat di kedai kopi. Kesempatan itu digunakan oleh Hilmi untuk bertanya khabar tentang Hayati. Dia amat sedih kerana Hayati kini sudah banyak berubah perangai dan dia tidak segembira dan senang dahulu lagi. Sesampai Hilmi di rumah Encik Bakar, rumah itu seperti tiada penghuni. Tingkap dan pintunya tertutup rapat. Ketika di mahu berpatah balik, tiba-tiba sebuah jendelanya terbuka dan Azizah telah muncul dan terkejut dengan kehadiran Hilmi. Kedatangannya itu disambut dengan Hilmi. Hilmi menceritakan kisahnya kepada Encik Bakar dan hasratnya ingin menyambung belajar muzik dengannya. Encik Bakar tidak keberatan. Hilmi meminta izin pulang awal kerana telah berjanji dengan Ah Kong akan kembali sebelum pukul 7.00 malam untuk menggantikannya bekerja.
Hilmi bekerja dengan rajin dan berdoa supaya pak cik atau mak ciknya jangan datang mengisi minyak di situ. Walau bagaimanapun, Hilmi telah terserempak dengan Mohsin. Mohsin telah menghasut tauke kedai minyak itu supaya membuang Hilmi tetapi tauke itu tidak mempedulikannya. Minggu pertama di bulan kedua bekerja di situ, Hilmi bertekad berjumpa semula dengan Encik Bakar. Dalam perjalanannya dia telah bertemu Pak Amat di kedai kopi. Kesempatan itu digunakan oleh Hilmi untuk bertanya khabar tentang Hayati. Dia amat sedih kerana Hayati kini sudah banyak berubah perangai dan dia tidak segembira dan senang dahulu lagi. Sesampai Hilmi di rumah Encik Bakar, rumah itu seperti tiada penghuni. Tingkap dan pintunya tertutup rapat. Ketika di mahu berpatah balik, tiba-tiba sebuah jendelanya terbuka dan Azizah telah muncul dan terkejut dengan kehadiran Hilmi. Kedatangannya itu disambut dengan Hilmi. Hilmi menceritakan kisahnya kepada Encik Bakar dan hasratnya ingin menyambung belajar muzik dengannya. Encik Bakar tidak keberatan. Hilmi meminta izin pulang awal kerana telah berjanji dengan Ah Kong akan kembali sebelum pukul 7.00 malam untuk menggantikannya bekerja.
Hilmi diajar oleh Encik Bakar peringkat demi
peringkat. Dia tidak sahaja belajar berbagai-bagai alat muzik tetapi juga
diajar untuk mengenal lebih dekat tiap-tiap jenis alat itu. Hilmi sering
diingatkan oleh Encik Bakar bahawa dia akan berjaya kerana mempunyai bakat.
Hubungan Azizah dengan Hilmi juga semakin rapat. Setiap kali dia ke rumah Encik
Bakar, Azizah selalu menyambutnya dengan mesra. Hilmi juga sudah mula kenal
dengan not kerana menurut Encik Bakar untuk menjadi pemain muzik yang baik
seseorang itu mesti tahu membaca not. Selain itu Hilmi telah belajar bermain
trompet, seksofon, klarinet, dan biola.
Sinopsis
Bab 10 – Bebas
Sejak Hilmi meninggalkan rumah pak ciknya,
pokok-pokok bunga di taman Jepunnya yang dulunya menjadi kebanggaan kepada
Datin Salmah dan Datuk Johari telah mulai musnah sedikit demi sedikit. Hayati pula seolah-olah ikut
meratapi kehancuran taman bunga itu. Keadaan itu menyebabkan atin Salmah
mendesak suaminya menulis surat ke kampung bertanyakan Hilmi, kalau benar Hilmi
menggunakan sesuatu kuasa ghaib ke atas Hayati tetapi Datuk Johari menolak. Dia
tahu isterinya itu telah terpengaruh dengan cakap-cakap morning coffee. Datin
Salmah serba salah dengan keadaan Hayati. Hayati bukan lagi anak kecil yang
dapat dipujuk dengan hadiah atau janji apabila dia menangis. Hayati sekarang
sudah menjadi gadis remaja malah sudah bertunang. Ketika masuk ke bilik Hayati,
dia terkejut kerana terjumpa buku agama dan lebih memeranjatkan lagi ialah
sejadah dan telekung yang terlipat dengan baik di sudut biliknya. Anaknya itu
sudah mula sembahyang. Dia keluar dari bilik itu dan menelefon suaminya.
Perasaan ngeri mulai menguasai dirinya apabila dia mengetahui anaknya
sembahyang setiap waktu sementara dia dan suaminya tidak sembahyang. Dia mula
menyiasat dengan siapakah Hayati berkawan. Ketika suaminya pulang makan tengah
hari dia terburu-buru menunjukkan buku-buku agama di bilik Hayati, tikar, dan
telekung. Hayati menyambut kepulangan Mohsin di lapangan terbang. Mohsin turut
hairan melihat perubahan diri Hayati. Mohsin mengumumkan berita gembira iaitu
dia hanya pulang sebentar sahaja dan akan berangkat lagi ke London kerana telah
dilantik menjadi penolong pengurus di cawangan banknya yang baru sahaja dibuka
di kota metropolitan Inggeris itu. Datin Salmah mencadangkan supaya perkahwinan
antara Hayati dan Mohsin disegerakan. Cadangan itu tidak dibantah oleh Hayati,
malah Hayati kelihatan terlalu gembira. Berita perkahwinan Hayati dan Mohsin
tersiar dalam semua surat khabar Melayu dan Inggeris. Hilmi terpegun ketika
Azizah menunjukkan kepadanya berita perkahwinan itu. Hilmi memohon untuk
beredar dan tidak ada mood untuk belajar muzik pada hari itu. Mamat pula datang
ke biliknya membawa berita bahawa Hayati dan Mohsin akan berangkat ke England
sebaik sahaja mereka pulang dan berbulan madu di Cameron Highland. Seminggu
lamanya Hilmi berkurung di rumah. Habis kerja dia terus balik ke biliknya dan
tidak keluar-keluar lagi. Penghuni di sebelah menyebelah biliknya itu hanya
sering mendengar gesekan biola ataupun petikan gitar. Hari kelapan Hilmi pergi
semula ke rumah Encik Bakar dengan memperlihatkan sebuah lagu yang telah
dikarangkannya. Encik Bakar mencuba lagu itu di piano sambil dipindanya
sedikit-sedikit. Hilmi memberi judul lagu itu “Sebuah Intermeso”. Hilmi berasa
gembira kerana dia telah mengetahui bahawa dia mempunyai bakat bukan sahaja
sebagai pemain muzik, tetapi juga sebagai penggubah lagu.
Sinopsis
Bab 11 – Intermeso
Hilmi telah berhenti dari kios minyak petrol kerana
akan menjadi anggota salah sebuah quartet yang terkenal di ibu kota. Encik
Bakar telah mengambil Hilmi bermain di dalam quartetnya sebagai menggantikan
tempat pemain biolanya yang kebetulan telah berpindah ke Pulau Pinang. Pertama
kali berlatih Hilmi berasa gugup. Dia berasa mahu menarik diri sahaja daripada
quartet tersebut tetapi atas dorongan Encik Bakar semangatnya pulih kembali.
Hilmi memainkan lagu gubahannya “Sebuah Intermeso”. Seluruh hadirin terpesona
dan terpegun. Hilmi telah diinterview ( ditemu ramah ) oleh pemberita hiburan
dari sebuah surat khabar Inggeris yang terkemuka. Hasil interview itu telah
disiarkan di dalam ruangan hiburan akbarnya pada hari yang berikutnya. Datuk
Johari juga terpegun ketika melihat
gambar Hilmi terpampang di ruangan hiburan surat khabar bertajuk “Penemuan Baru
Abad ini Pemain Biola Hikmat Malaysia”. Hayati tidur di rumah mak ciknya
bersama Maimun. Maimun hairan dengan perubahan Hayati yang sudah sembahyang.
Perbualan mereka berdua berkisar kepada Hilmi. Maimun tidak menyangka tukang
kebun Hayati ada bakat muzik. Hati Hayati bergelodak kerana dia ingin
menceritakan perkara sebenar bahawa Hilmi bukan tukang kebun. Daripada akhbar
itu Hayati mendapat tahu Hilmi masih berada di Kuala Lumpur dan telah menjadi
seorang pemain muzik dalam quartet tetap di Hotel Titiwangsa. Cuma Hayati kesal
kerana Mamat sering berdalih apabila ditanya tentang Hilmi. Pada malam kedua,
Encik Bakar mendesak Hilmi memainkan lagunya “Sebuah Intermeso” tanpa nyanyian.
Seluruh hadirin terpesona. Kisah Hilmi mendapat perhatian Setiausaha Persatuan
Pemain-pemain Muzik Nasional. Encik Bakar telah melanggar peraturan
perlembagaan persatuannya. Semua pemain muzik di hotel dan kelab-kelab malam
hendaklah terdiri daripada anggota-anggota persatuan itu yang sah. Encik Bakar
telah menerima surat daripada Setiausaha Persatuan Pemain-pemain Muzik
Nasional. Encik Bakar menganggap itulah masa yang paling malang sekali dalam
hidupnya. Dia bukan tidak sedar tentang hal ini, tetapi keadaan terdesak.
Pemain biolanya tiba-tiba berhenti. Encik Bakar mengumpul semua ahli
kumpulannya kecuali Hilmi untuk berbincang. Akhirnya mereka sebulat suara
menyokong kemasukan Hilmi dalam kumpulan mereka. Hilmi kemudian diberitahu
tentang krisis yang terjadi dan tentang keputusan mesyuarat itu. Walaupun
keputusan itu dicapai sebulat suara, tetapi meninggalkan kesan yang parah dalam
hati Hilmi. Dia berasa kesal kerana menjadi sebab Encik Bakar diancam oleh
persatuannya. Walau bagaimanapun pada malam itu mereka bermain seperti biasa. Seminggu
sesudah itu, Encik Bakar telah dipanggil oleh Jawatankuasa Persatuan
Pemain-pemain Muzik Nasional untuk menghadapi tuduhan melanggar tatatertib
persatuan dan melanggar arahan setiausaha. Tiga jam lamanya ahli jawatankuasa
persatuan itu membuat persidangan tertutup. Encik Bakar disuruh menunggu di
luar bilik persidangan. Keputusan mesyuarat akhirnya memaafkan Encik Bakar
kerana mengenangkan jasa-jasanya terhadap persatuan tersebut dan menerima
keahlian Hilmi.
Sinopsis
Bab 12 – Krisis
Hilmi gelisah kerana Encik Bakar belum pulang dan
Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional dan dia tidak dibenarkan hadir sama
dalam mesyuarat tersebut. Keyakinan Hilmi pulih setelah ibu Azizah
menasihatinya supaya bertenang kerana dia percaya suaminya tidak akan
diapa-apakan. Encik Bakar seorang yang jujur dan dia tidak akan dipecat.
Kepulangan Azizah membawa berita tentang Hayati mendapat biasiswa dari British
Council untuk belajar muzik di Conservatory of Music selama dua tahun dan akan
berangkat esoknya. Hilmi tergesa-gesa pulang. Semasa Hilmi keluar, Encik Bakar
pun sampai bersama-sama dengan Rahmat dan Harry Lam. Melihat Hilmi tidak ada di
situ, Rahmat dan Harry Lam pun meminta diri pulang ke rumah. Pada malam itu,
ada dua penerbangan ke London. Satu kapal terbang British Airways dan satu lagi Qantas yang datang dari Sydney. Sekiranya
Hilmi pergi ke lapangan terbang pada waktu itu bererti dia tidak dapat ikut
bermain dalam orkestra Encik Bakar. Fikirannya terlalu runsing. Akhirnya dia
pulang ke bilik. Di pintu biliknya ada sekeping surat yang ditinggalkan oleh
Mamat menyatakan dia barangkali akan datang pada pukul tujuh malam dan ingin
membawa Hilmi berjumpa Hayati. Di dalam pertemuan itu Hayati menyatakan bahawa
dia amat mencintai Hilmi tetapi dia tidak mahu membantah kata orang tuanya dan
terpaksa berkahwin dengan Mohsin. Mohsin juga tahu akan pertemuannya dengan
Hilmi. Hayati juga menyatakan bahawa lagu “Sebuah Intermeso” itu menjadi ubat
yang paling mujarab bila hatinya luka. Kaset lagu itu dibawanya di dalam beg ke
mana sahaja dia pergi. Hayati juga meminta Hilmi memaafkan ibu dan bapanya
kerana tindakan dan kelakuan mereka terhadapnya dahulu. Encik Bakar pula
gelisah kerana Hilmi belum muncul-muncul. Setelah kemunculan Hilmi, Encik Bakar
memberikan resit sebagai bukti dia telah menjadi pemain muzik profesional yang
sah. Pada malam itu, permainan yang luar biasa telah diperlihatkan oleh Hilmi.
Ketika jam berdeting pukul 12.40 malam jantungnya ikut berdetak kuat kerana
pada saat itu pesawat yang dinaiki oleh Hayati terbang meninggalkannya. Pada
malam perpisahan itu Hilmi telah berjaya menggubah sebuah lagu yang lahir dari
perpisahan dengan Hayati dan diberi judul “Perpisahan”. Encik Bakar juga telah
memberikan petua-petua bagaimana cara menggubah lagu yang baik dan menasihati
Hilmi supaya mengarang beberapa buah lagu lagi dan lagu-lagunya itu disimpan
dahulu. Apabila telah banyak dan sudah cukup barulah dirakamkan menjadi rekod. Pengaruh
gitar rancak dan Barat telah mulai melanda ke negara ini. Hilmi telah mendapat
keizinan Encik Bakar untuk menubuhkan kugiran yang diberi nama “Kugiran Dahlia”
ringkasan nama Daniel, Azizah, Hilmi, Tony Lim, Dan Arasu. “Kugiran Dahlia”
dengan cepat mendapat popularitinya. Hilmi banyak menggubah lagu untuk
dinyanyikan oleh Azizah dan nama Azizah mulai terkenal. Perhubungan mereka
semakin erat. Apabila gelombang kugiran mulai merosot, Hilmi kembali bergiat
dalam orkestra yang bermain di kelab-kelab malam. Walaupun rekod dan kaset yang
mengandungi lagu-lagu gubahannya sudah banyak terjual tetapi sebagai penggubah
lagu dia tidak pernah mendapat hasil yang lumayan malah berdepan pula dengan
masalah cetak rompak. Setelah setahun lebih bergaul rapat, dia dan Azizah
diijabkabulkan sebagai suami isteri. Pada mulanya kehidupan mereka sebagai
suami isteri amat harmoni tetapi kira-kira setahun setelah anak lelaki mereka
yang pertama lahir, Azizah mulai berubah dan Hilmi juga ikut berubah. Rumah
tangga mereka mula goyah. Kepedihan yang dirasai dari penghidupan itu
menyebabkan Hilmi banyak berfikir dan telah mendatangkan ilham untuknya
menggubah lagu. Sebahagian besar lagu-lagu yang digubahnya tidak ditunjukkan
kepada orang lain, walaupun kepada Encik Bakar.
Sinopsis
Bab 13 – Perpecahan
Keretakan yang terjadi dalam rumah tangga Hilmi
telah tidak dapat diselamatkan lagi. Encik Bakar dan isterinya, walaupun pada
mulanya tidak mahu campur tangan kerana itu urusan rumah tangga mereka terpaksa
memanggil kedua-duanya kerana keadaan semakin buruk. Tetapi pertemuan itu tidak
membawa apa-apa hasil. Persengketaan antara mereka tidak boleh diatasi malah
Azizah mengajar anaknya memanggil Hilmi dengan panggilan “bapa jahat”. Azizah
cemburu kerana pada anggapannya
beberapa buah lagu yang telah digubah khas oleh Hilmi adalah untuk Hayati.
Sedangkan dia tidak mengetahui Hilmi juga pernah menggubah lagu tentang cinta
dan sayangnya kepada isteri dan anaknya dalam lagu “Balada Kasih”.Lagu itu
ialah curahan isi hatinya yang jujur. Kini hidupnya terasa kesunyian yang amat
sangat. Dia sering menyembunyikan kesedihannya daripada kawan-kawannya. Dia
terus menghiburkan orang-orang yang datang mencari hiburan di tempatnya bermain
muzik. Dia juga tetap menggubah lagu. Sekali sekala dia teringatkan Hayati.
Tragedi yang menimpanya menyebabkan dia mencipta sebuah lagu yang diberi tajuk
“Cinta dan Tangis”. Lagu “Cinta dan Tangis” menjadi inspirasi kepadanya untuk
menggubah lagu-lagu lain dan menulis sendiri sari katanya. Dia mulai terasa
bahawa menggubah lagu-lagu itu sebagai satu misi yang telah ditugaskan oleh
Tuhan kepadanya biarpun terpaksa bekerja keras siang dan malam tetapi hatinya
senang dan tenteram. Harapan untuk kembali dengan Azizah telah pudar. Walau
bagaimanapun dia belum berniat untuk menceraikan Azizah kerana Azizah sendiri
tidak pernah memintanya. Setiap malam sebaik sahaja pulang dari tempatnya
bekerja, Hilmi akan duduk di hadapan pianonya menggubah lagu-lagu baru. Kalau
ilhamnya tidak ada dia akan memainkan rekod. Lagu-lagu yang telah digubahnya
kini berjumlah ratusan buah. Orkes Hilmi telah mendapat undangan untuk bermain
dalam pertunjukan Hari Keputeraan Sultan Kelantan di Kelantan. Hilmi mendapat
sambutan yang luar biasa. Peminat-peminatnya telah menyerbunya. Kira-kira jam
empat pagi, Hilmi dikejutkan dengan panggilan telefon dari Rahmat tentang
kematian Encik Bakar. Hilmi menaiki kapal terbang MAS pulang ke Kuala Lumpur.
Dalam penerbangan tersebut dia telah selesai menyiapkan sebuah lagu yang diberi
nama “Seniman” yang dicipta khas untuk Encik Bakar iaitu guru, kawan, dan bapa
mertuanya. Tiga tahun berturut-turut Hilmi muncul sebagai pemenang dalam pesta
muzik tahunan yang dianjurkan oleh RTM. Hilmi telah diberi penghormatan untuk
memimpin satu pertunjukan Orkes Perdana yang dianjurkan oleh RTM. Pertunjukan
itu sama tarafnya dengan Royal Performance ( persembahan di-Raja ) yang
diadakan di England. Hilmi diminta untuk membuat arrangement (penyusunan) semua
lagunya dan diberi nama “Hilmi Potpouri”. Publisiti (berita) tentang
pertunjukan itu tersebar luas. Bukan sahaja melalui RTM, tetapi juga melalui
media massa di seluruh negara. Datin Salmah juga telah mendesak Datuk Johari
mencari kad jemputan pertunjukan Orkes Perdana itu kerana saudaranya iaitu
Datin Mastura (kakak), dan Datuk Roslan (abang ipar), Datin Maniam (kakak), dan
seluruh geng morning coffee telah bercadang untuk menontonnya.
Sinopsis
Bab 14 – Seniman
Dewan Tunku Canselor telah penuh sesak. Keadaan
kalut mulai terasa apabila Hilmi belum kelihatan. Ketua Pengarah RTM
mengarahkan Amat, seorang pengawal RTM pergi menjemput Hilmi tetapi Hilmi tidak
ada di rumahnya. Ketua Pengarah itu tidak puas hati lalu mengajak Amat sekali
lagi bersama-samanya pergi ke rumah Hilmi Dan akhirnya mereka mendapat tahu
daripada seorang pemuda Cina bahawa Hilmi sakit dan dimasukkan ke hospital.
Ketua Pengarah berkejar ke hospital dan dia mendapati keadaan Hilmi dalam
bahaya dan telah dibawa ke unit rawatan rapi ( ICU ). Doktor juga telah
memberitahu bahawa nyawa Hilmi terancam dan dia tidak mungkin dapat memimpin
Orkes Perdana. Ketua Pengarah telah mengarahkan Borhan supaya mencari pengganti Hilmi dan kembali ke universiti.
Kebimbangannya itu dikongsi bersama oleh Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha.
Tiba-tiba muncul Hayati, wanita yang ingin menonton pertunjukan tersebut.
Keadaan menjadi semakin kelam kabut. Berbagai-bagai spekulasi telah dibuat
kerana ketiadaan Hilmi itu. Hayati mendapat tahu tentang kesakitan yang dialami
oleh Hilmi dan berminat untuk membantu Hilmi memimpin pertunjukan tersebut.
Setelah menunjukkan bukti kelulusan dan pengalamannya serta hubungan rapat dengan
Hilmi, akhirnya ketua pengarah membenarkan Hayati memimpin Orkes Perdana
tersebut. Datuk Johari dan Datin Salmah menyesali perbuatan mereka terhadap
Hilmi, lebih-lebih lagi apabila mendengar puji-pujian yang diberikan kepada
Hilmi oleh penonton. Mereka juga menyedari yang memimpin pertunjukan orkes itu
ialah Hayati. Baginda Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Perdana Menteri amat
terhibur dengan persembahan itu dan dukacita di atas kemalangan yang menimpa
Hilmi. Setelah pertunjukan selesai Hayati bergegas ke hospital, begitu juga
Datuk Johari dan Datin Salmah apabila mengetahui perkhabaran tersebut. Di
hospital, Datuk Johari telah bertemu dengan abang sepupunya iaitu bapa Hilmi
yang baru sampai dari kampung. Suasana menjadi bertambah pilu dengan kehadiran
Azizah, ibunya serta Hakim, anak Hilmi. Abang sepupunya itu kemudian
menceritakan kepada Datuk Johari dan Datin Salmah bahawa Hilmi selalu memuji
kebaikan pak cik dan mak ciknya itu. Akhirnya abang sepupunya iaitu Karim
akhirnya membongkar rahsia bahawa Hilmi sebenarnya anak kandung Datuk Johari.
Dia sengaja menyimpan rahsia itu kerana tidak mahu merosakkan rumah tangga
mereka. Datuk Johari dan Datin Salmah amat menyesal dan akan menebus dosa
mereka sekiranya Hilmi pulih. Setelah doktor yang merawat Hilmi membenarkan
mereka melawat Hilmi, mereka pulang ke rumah Datuk Johari. Karim bersyukur
kerana Allah memanjangkan usianya dan dapat membuka rahsia yang terpendam di
hati selama ini. Sesampai sahaja di pekarangan rumah, mereka dikejutkan dengan
panggilan telefon dari hospital. Datuk Johari telah menerima khabar tentang
kematian Hilmi dan pada saat yang sama Datuk Johari jatuh terjelepok di atas
lantai dan pergi buat selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment