BAB 1 – Isnin
Seorang perempuan tua
(nenek) tiba-tiba muncul tepat jam 6:20 Subuh Isnin di hadapan pintu pagar
rumah Tuan Haji Syakir. Sukma, anak Tuan Haji Syakir ingin membuka
pintu pagar rumah tetapi dihalang oleh ibunya, Puan Delia atas alasan tidak
mengenali perempuan tua tersebut. Sukma yang tidak mengendahkan
nasihat ibunya terus membuka pintu pagar. Malangnya, perempuan tua
tersebut sudah tiada. Keadaan ini menimbulkan tanda tanya kepada
Sukma sehingga dia tidak dapat menumpukan perhatian pada kuliah kegemarannya
iaitu ‘Tamadun Islam Melalui Seni Bina’ yang diajar Profesor Darul.
BAB 2 – Selasa
Pada jam 6:20 pagi
Selasa, seorang lelaki muda muncul di hadapan pintu pagar rumah Tuan Haji
Syakir. Sukma dihalang oleh ibunya daripada membuka pintu pagar
kerana tidak pernah berjumpa dengan lelaki tersebut atau berhutang apa-apa
dengannya. Tanpa menghiraukan amaran ibunya, Sukma
membuka pintu pagar tetapi lelaki tersebut sudah tiada. Sukma
bertanyakan tentang lelaki tersebut kepada ayahnya dan Haji
Rashid. Mereka berpendapat mungkin lelaki tersebut tinggal
berdekatan dengan kawasan tempat perumahan mereka dan berhasrat untuk
menyatakan masalahnya. Di kawasan rehat kuliah, Sukma dan Teja
berkenalan dengan seorang anak muda bernama Rafiq iaitu seorang pelajar baharu
yang tinggal dan belajar di Washington sebelum itu. Dalam pada itu,
Sukma tertanya-tanya siapakah diri Rafiq sebenarnya dan sebab dia tiba-tiba
memperkenalkan diri seolah-olah ingin bersahabat atau Sukma dilanda perasaan.
BAB 3 – Rabu
Sukma menunggu kehadiran
tetamu 6:20 di balkoni kamar namun dia disindir oleh ibunya. Ibunya
menyatakan bahawa Sukma kelihatan resah dan mencadangkan agar Sukma berjumpa
dengan kaunselor. Di pintu pagar, muncul 2 ekor kucing jenis Burman
iaitu seekor berwarna hitam dan seekor berwarna putih. Namun kucing
itu menghilang ketika Sukma membuka pintu pagar. Ayah Sukma mengajak
Sukma ke Majlis Sumbangan Amal Persatuan Kraf Wanita Daerah yang kemungkinan
dihadiri juga oleh Iskandar, kawan Sukma. Sukma akur dengan
permintaan ayahnya. Di dewan kuliah itu Rafiq Mustaqeem, pelajar
cemerlang semasa sama-sama menuntut dengan Profesor Darul di Amerika Syarikat
menerangkan topik ‘Kemasyarakatan Islam’. Sukma pula masih
tertanya-tanya tentang tetamu misteri 6:20.
BAB 4 – Rabu Malam
Sukma yang mengikut
ayahnya ke majlis melibatkan orang kampung dan ahli persatuan telah bertemu
dengan Ehsan berusia 3 tahun yang menghidap penyakit jantung dan penyakit
kulit. Di majlis tersebut juga, Sukma bertemu dengan Rafiq dan
Iskandar . Sukma tidak suka bercakap dengan Iskandar kerana Iskandar
suka menyalahkan pentadbiran, merendahkan orang lain, suka melihat sesuatu dari
sudut yang songsang dan suka meniru gaya barat. Ketika di majlis itu
juga, Sukma ternampak perempuan tua (nenek) yang muncul di pintu pagar rumahnya
pada 6:20 subuh Isnin tetapi tidak berkesempatan berjumpa dengannya.
BAB 5 – Khamis
Jam 6:20 pagi Khamis,
seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun berdiri di pintu pagar Tuan Haji
Syaqir. Sebaik ternampak kanak-kanak lelaki tersebut, Sukma bergegas
ke arahnya untuk bertanya soalan. Kanak-kanak tersebut ketakutan dan
melarikan diri. Ibu memarahi Sukma kerana membuka pintu pagar
disebabkan dia bimbang akan keselamatan Sukma. Di bilik kuliah,
Alvin bertanyakan sebab Jerry berada di Kelab WX2. Sukma dan Teja
tertanya-tanya tentang kelab tersebut kerana mereka tidak pernah mendengar
tentangnya. Alvin menerangkan bahawa kelab tersebut ialah kelab hiburan
yang mengandungi muzik metal ekstrem dan ahli kelabnya sentiasa berkumpul di
dalam bilik yang dipanggil ruang sepi bagi mendalami ilmu mencari
realiti. Sukma dan rakan-rakannya berkumpul kerana mencari bahan
kajian isu peperangan dan penindasan melanda dunia. Jerry
memberitahu Sukma tentang Kelab WX2 dan menyatakan Iskandar juga terlibat dalam
kelab tersebut.
BAB 6 – Khamis Malam
Sukma memberitahu
ayahnya tentang kemunculan tetamu misteri pada jam 6:20 di depan pintu pagar
rumah mereka. Sukma meminta ayahnya mencari tetamu tersebut untuk
mengetahui sebab mereka hadir ke rumah mereka. Ibu mengatakan bahawa
Sukma stres dan mencadangkan kepada ayahnya supaya membawa Sukma pergi
melancong. Teja mengajak Sukma ke Kafe Flora iatu kafe milik ibu
saudaranya, Su Ani yang berkonsepkan tradisional. Di sana, mereka
berkenalan dengan ahli kumpulan Waris Cinta iaitu sekumpulan 30 orang anak muda
dari Sarawak yang mengadakan persembahan tarian tradisi. Sukma
bertukar-tukar pandangan dengan Reny tentang seni tradisi. Sukma
menyatakan bahawa dia ialah guru zapin yang mengajar tarian zapin kepada
kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun di kawasan perumahannya.
BAB 7- Jumaat
Jam 6:20 pagi, Sukma
menunggu di bangku rehat berdekatan pintu pagar rumahnya untuk menemui
kanak-kanak yang pernah muncul sebelum itu. Kanak-kanak tersebut
lapar dan Sukma mengajaknya masuk ke rumah untuk memberinya
makanan. Nama kanak-kanak itu ialah Aim. Ibu memarahi
Sukma kerana membawa kanak-kanak tersebut masuk ke rumah. Aim yang
terdengar suara ibu melarikan diri keluar. Apabila Sukma ingin
mencari Aim, dia terserempak dengan Pak Rashid. Sukma mengajak Pak
Rashid mencari Aim di kawasan sekitar perumahannya. Apabila tidak
menemui Aim, mereka pulang ke rumah. Ros menyapa Sukma dan bertanya
sebab dia bergegas keluar dengan Pak Rashid. Sementara itu, ibu
mencari jawapan tentang kerisauan yang melanda Sukma. Ibu
beranggapan Sukma banyak berubah dan merahsiakan sesuatu
daripadanya. Sukma menduduki peperiksaan untuk kuliah Profesor
Darul. Selepas peperiksaan, Sukma dan rakan-rakannya berbincang
tentang istilahterrorism. Rafiq pula menegur Jerry yang
kelihatan seperti tidak cukup tidur. Rafiq memberitahu bahawa dia
dan Alvin ternampak Jerry dan mengetahui aktiviti yang dilakukannya semalam.
BAB 8 – Jumaat Petang
Sukma, Teja, Alvin dan Rafiq
menunggu kedatangan Jerry yang ingin berjumpa dengan mereka di belakang rumah
kedai tidak jauh dari Kelab WX2 pada jam 6.00 petang namun Jerry tidak muncul
sehingga 6.20 petang. Di seberang jalan, Sukma ternampak anak muda
yang pernah muncul di pintu pagar rumahnya. Sukma pergi ke arah
lelaki tersebut untuk mendapatkan penjelasan tentang kehadiran dia di hadapan
pintu pagar rumahnya namun lelaki tersebut terpinga-pinga
sahaja. Rafiq pula menarik Sukma untuk bergerak ke arah Jerry yang
dilihatnya di pintu Kelab WX2 bagi berjumpa dengannya.
Jerry menyatakan dia tidak dapat bercakap dengan mereka tetapi berjanji untuk
berjumpa dengan mereka pada malam itu. Sukma keliru tentang kewujudan
Kelab WX2 yang boleh mendapat lesen perniagaan sedangkan kelab tersebut
mengajar satu fahaman yang meragukan. Iskandar pula
muncul di Kelab WX2 dan mempersoalkan kehadiran Sukma dan Rafiq di
situ. Sukma menyatakan bahawa dia mengetahui tentang WX2 dan ruang
sepi. Iskandar memujuk Sukma supaya balik ke rumah tetapi Sukma
berkeras ingin masuk ke Kelab WX2. Akhirnya hanya Iskandar yang
memasuki kelab dan Sukma hanya memerhatikannya.
BAB 9 – Jumaat Malam
Sukma resah memikirkan
tetamu misteri 6:20, Jerry yang menghadapi krisis diri, Kelab WX2 dengan ruang
sepi yang menjadi tarikan kepada anak muda dan Iskandar yang berkelakuan
pelik. Rafiq mengajak Sukma untuk berjumpa di Kafe Flora untuk
berbincang tentang Jerry dan beberapa perkara lain. Ketika ingin
keluar rumah, Ros menegur Sukma lantas menawarkan diri untuk menghantar Sukma
ke Kafe Flora. Di dalam kereta, Ros menyatakan bahawa dia ingin
menjenguk Kelab WX2 dan mengingatkan Sukma supaya
berhati-hati. Sukma berjumpa dengan Rafiq dan Rafiq memberitahu
bahawa dia mengenali lelaki yang pernah muncul di pintu pagar rumah Sukma pada
Selasa lalu. Lelaki tersebut ialah Abang Aim iaitu pekerja di ladang
ayahya tetapi telah menghilang enam bulan lalu. Walau bagaimanapun,
Abang Aim telah berjumpa dengan ayahnya untuk meminta maaf dan menceritakan
masalahnya pada minggu lalu. Sukma meminta Rafiq untuk membawanya
bertemu dengan Abang Aim bagi merungkaikan misteri tetamu
6:20. Rafiq juga memberitahu bahawa Jerry telah datang
berjumpa dengannya dan Alvin. Jerry menyatakan bahawa Kelab WX2
tidak berbahaya dan ruang sepi adalah tempat remaja berkumpul, berbincang dan
berbual. Walau bagaimanapun Sukma mengesyaki Rafiq tidak
menceritakan hal sebenar kepadanya. Rafiq menjelaskan bahawa dia
tidak dapat menceritakan hal sebenar kerana tidak dibenarkan oleh Jerry. Akhirnya,
Sukma dan Rafiq mengambil keputusan untuk ke rumah Jerry tetapi mereka berjumpa
dengan Jerry yang berpakaian serba hitam di dalam bas yang dinaiki oleh
mereka. Selepas berhenti, Sukma bertanya tentang penampilan Jerry
yang berubah itu. Jerry menjelaskan bahawa hidupnya kosong dan segala
aturan hidupnya ditentukan oleh ibu dan bapanya. Jerry juga
menyatakan bahawa dia bergembira apabila berada di Kelab WX2 kerana dia bebas
bersuara dan membuat pilihan.
BAB 10 – Sabtu
Sukma bertemu dengan
perempuan tua (nenek) yang muncul di pintu pagar rumahnya pada pagi Isnin
lalu. Sukma bertanya tentang asal usulnya. Nenek tersebut
memberitahu bahawa rumah Sukma panas dan meminta Sukma
menyejukkannya. Sukma juga diminta untuk meredakan suasana yang
tidak aman di dalam rumah. Sukma manjadi hairan dengan pesanan nenek
itu. Sukma berjumpa dengan Teja. Rafiq dan Alvin di Kafe
Flora. Kedatangan mereka disambut oleh Reny. Reny
memberitahu bahawa dia mengenali Iskandar dan juga mengetahui tentang ruang
sepi di Kelab WX2. Sukma ke Kelab WX2 dan memasukinya. Setelah
melihat di sekeliling kelab, Sukma mendapati bahawa kelab tersebut tidak
langsung menampakkan ciri-ciri kelab muzik rock metal yang ekstrem tetapi lebih
kepada kelab ekslusif.
BAB 11 – Sabtu Lagi
Sukma berjumpa dengan
Iskandar di Kelab WX2. Sukma berasa agak terkejut dengan sikap
Iskandar yang begitu ramah dengannya berbanding dengan sebelum
ini. Iskandar seronok menceritakan tentang aktiviti yang dijalankan
di kelabnya itu, bukan sahaja mendendangkan lagu-lagu bahkan terdapat juga
persembahan wayang kulit yang diundang khas dari Kelantan. Sukma
berasa hairan kerana tidak mengetahui kehadiran WX2 di situ. Sambil
menurunkan kerusi dari atas meja, Iskandar dan Sukma bercerita tentang rakan
mereka yang bernama Reny dan misi kelab mereka. Sukma berlegar-legar
di ruang kelab itu dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kelab
tersebut terutama sikap Iskandar yang mula menampakkan keganjilan apabila Sukma
bertanyakan tentang Jerry. Reny tiba-tiba muncul dan memohon maaf
kepada Sukma. Sukma terus mendesak rasa ingin tahunya tentang fungsi
kelabnya itu kepada Reny dan Iskandar. Iskandar menyakinkan Sukma
bahawa kelab tersebut hanyalah ruang untuk perdebatan dan perkongsian idea.
BAB 12 – Sabtu Siang
Sukma berjumpa Aim
(kanak-kanak) di Kedai Runcit Ah Leong. Sukma mendapatkan penjelasan
daripada Aim sebab-sebab kedatangannya pada waktu Subuh di rumah
Sukma. Aim merupakan anak yatim piatu dan cucu kepada
Nenek. Aim melewati rumah Sukma pada Subuh hari itu kerana ingin
mengikuti neneknya ke pasar untuk berniaga
buah-buahan. Sukma mengajak Aim ke rumahnya. Teja dan
Rafiq telah menunggu di rumah Sukma. Teja menanyakan tentang Kelab
WX2 kepada Sukma. Sukma menjelaskan bahawa keadaan kelab tersebut
berbeza dengan yang diceritakan oleh Alvin dan Jerry. Teja juga
pernah dua kali memasuki kelab tersebut. Dia ingin mendapatkan
kepastian daripada Sukma tentang ruang sepi kelab itu. Ruang sepi
itu merupakan tempat yang penting bagi kumpulan yang dianggotai Iskandar dan
rakan-rakannya. Kewujudan ruang sepi itu begitu menjadi tanda tanya
kepada Sukma. Sedang mereka berbincang, ibu Sukma balik ke rumah
bersama-sama pemandu kereta mereka iaitu Pak Rashid. Sukma meminta
Teja membawa Aim ke biliknya. Rafiq meminta izin pulang. Sukma
berusaha membawa Teja dan Aim keluar dari biliknya tanpa pengetahuan
ibunya setelah mendapat pandangan daripada bapanya. Namun begitu,
apabila mendapati Aim tertidur di dalam biliknya, Sukma hanya meminta
Teja pulang dahulu. Sukma cuba mendapatkan penjelasan daripada Pak
Rashid tentang ibunya yang sering keluar pagi-pagi hari. Namun, Pak
Rashid tidak memberitahu apa-apa dan hanya meminta Sukma mencari jawapannya
sendiri tetapi dia sedia membantu.
BAB 13 – Sabtu Petang
Selepas solat Asar, Sukma
turun ke tingkat bawah untuk meninjau situasi sebelum membawa Aim keluar dari
biliknya. Ketika itu juga ibunya memanggil Sukma dan menunjukkan
buku yang dibelinya untuk Sukma. Buku itu menceritakan tentang
cara-cara menangani tekanan. Sukma tidak menyenangi cara ibunya yang
menyangka dia mengalami tekanan jiwa. Tuan Haji Syaqir cuba
menenangkan keadaan dengan menanyakan masalah Sukma dan meminta Sukma memohon
maaf kepada ibunya nanti. Sukma berjanji akan meminta maaf dengan ibunya atas
sikapnya tadi. Sukma lebih tertarik untuk berbincang dengan ayahya
tentang masalah remaja yang berlaku kini. Akan tetapi Tuan Haji
Syaqir meminta Sukma mendapatkan keterangan lanjut daripada Kak
Ros. Sukma tahu ayahnya telah melaksanakan pelbagai program kepada remaja
di tempatnya namun begitu ada yang tidak diketahui oleh Tuan Haji Syaqir
tentang wujudnya ideologi yang mempengaruhi pemikiran remaja tersebut.
BAB 14 – Sabtu Malam
Aim membawa Sukma, Teja
dan Rafiq ke rumahnya untuk bertemu dengan Abang Aim. Menurut
Rafiq, Abang Aim tinggal di sebuah pondok di belakang rumah Tuk
Siak. Ayah Rafiq telah menawarkan pekerjaan kepadanya tetapi dia
menolaknya. Ketika Abang Aim berjumpa dengan ayah Rafiq, dia telah
diberikan wang sebanyak RM 500.00 walaupun Abang Aim
menolak. Masyarakat di situ tidak suka kepada Abang Aim kerana
dikatakan menghidap AIDS. Abang Aim menasihati Sukma supaya
berhati-hati dan memintanya membongkar rahsia yang menyelubungi
rumahnya. Tiba-tiba, Iskandar datang untuk menjelaskan tentang ruang
sepi kepada Sukma. Sukma pula mendapatkan kepastian
daripada Iskandar tentang kehilangan Jerry. Iskandar sendiri tidak
mengetahui ke mana Jerry menghilang sebaliknya dia menerangkan kebebasan
membuat pilihan dalam hidup. Sukma beranggapan bahawa kebebasan
memilih haruslah yang positif dan bukannya yang menghancurkan hidup
sendiri. Sukma meninggalkan rumah Abang Aim dan menghantar Aim
(kanak-kanak) ke rumah neneknya. Sukma meminta maaf daripada nenek
kerana terlambat menghantar Aim pulang. Nenek seorang bidan dan pengasuh kepada
Sukma pada masa lalu. Nenek menceritakan keadaan kelahiran Sukma dan Puan Delia
yang sakit dan dia sendiri menjaga Sukma selama 2 bulan. Nenek juga memberitahu
tentang cucunya yang hampir seusia Sukma meninggal dunia kerana demam panas.
Sukma juga mendapati gambarnya yang ketika berusia 4 bulan ada tergantung di
rumah nenek itu. Semua yang diceritakan oleh nenek dan jam 6:20
menjadi tanda tanya kepada Sukma.
BAB 15 – Sabtu Malam yang Sama
Sukma terjumpa dengan
Jerry yang kelihatan tidak terurus. Jerry tidak mahu Sukma mencampuri urusan
peribadinya kerana itu adalah pilihannya sendiri. Sukma dan Rafiq memujuk Jerry
supaya pulang ke pangkal jalan. Mereka membawa Jerry ke dalam kereta. Jerry
menangis atas kesilapan yang dilakukannya. Sukma memujuk dan meminta Jerry
menceritakan semua yang telah berlaku. Jerry hanya meminta Rafiq dan Sukma
menghantarnya pulang kerana dia telah lama meninggalkan rumahnya. Selepas
menghantar Jerry pulang, Sukma dan Rafiq pergi ke rumah
Abang Aim untuk mendapatkan penjelasan tentang Kelab WX2. Sukma telah bersedia
mendengar segala penjelasan daripada Abang Aim. Menurut Abang Aim, dia tidak
menyuruh nenek dan cucunya pergi ke rumah Sukma pada pukul 6:20 pagi yang lalu.
Ayah Sukma juga tidak tahu apa-apa yang telah berlaku. Anggota kelab itu sangat
ramai dan mereka sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk memastikan
agenda dan perancangan mereka terhasil. Mereka sangat
cekap sehingga boleh menghilangkan segala bukti yang ada. Pengikut kumpulan ini
juga terdiri daripada 80% remaja berusia antara 15 hingga 21 tahun. Mereka
terdiri daripada pelajar yang cemerlang. Mereka tidak mengganggu Sukma kerana
menghormati ibunya Puan Delia. Sukma pulang ke rumah dan
diberitahu oleh ayahnya bahawa Kak Ros ingin berjumpa dengannya. Sukma cuba
mendapatkan sokongan serta pendapat ayahnya tentang Kelab WX2. Dia berusaha
meyakinkan ayahnya supaya mengambil tindakan terhadap kelab itu dan ibunya Puan
Delia. Iskandar tiba-tiba datang ke rumah Sukma dan meminta Sukma
tidak melakukan apa-apa kerana mereka ramai serta berada di serata tempat.
Menurut Iskandar, mereka membunuh secara psikologi. Namun begitu, Sukma telah
bertekad untuk melaporkan kepada Kak Ros yang merupakan anggota polis. Dia juga
meminta Kak Ros mendapatkan segala maklumat tentang kegiatan kumpulan itu
daripada Jerry dan Iskandar.
BAB 16 – Ahad
Iskandar datang untuk
berjumpa dengan Sukma tetapi telah didahului oleh Puan Delia, ibu
Sukma. Prasangka kepada ibunya semakin kuat kerana sikap ibunya yang
kelihatan seperti merahsiakan sesuatu. Nenek dan Aim (kanak-kanak) datang ke
rumah Sukma untuk menunjukkan kubur anaknya iaitu ayah Aim yang mati
kerana menanyakan kebenaran. Sukma cuba mendapatkan penjelasan
daripada nenek tentang ibunya yang terlibat dalam kumpulan tersebut. Titisan
air mata nenek seperti membenarkan apa-apa yang telah diterangkan oleh Abang
Aim. Sukma pulang ke rumah dan mendapati ibunya telah keluar dengan
menggunakan kereta ayahnya. Sukma mengajak Kak Ros ke Kelab WX2 dan meminta
ayahnya melaporkan kepada pihak berkuasa. Sukma menjelaskan segala yang telah
berlaku dan siapa ibunya yang sebenar kepada ayahnya.
BAB 17 – Ahad Pagi
Pada
pagi Ahad, Teja dan Rafiq telah menunggu Sukma di hadapan
Kelab WX2. Kak Ros dan Sukma serta rakan-rakannya telah memasuki premis Kelab
WX2 tetapi tidak menemui sebarang maklumat yang mencurigakan. Jerry telah
datang untuk berjumpa Sukma dan memberitahu bahawa dia bersama-sama keluarganya
akan pergi dari daerah itu, tetapi Sukma meminta Jerry memberi kerjasama
dengan membuat keterangan sebagai saksi nanti. Jerry menceritakan bahawa
sasaran kumpulan itu amat besar. Mereka mewujudkan fahaman baharu yang
bermatlamatkan kekuasaan. Setiap ahli kumpulan telah ditentukan pilihan,
kebebasan dan kehidupan yang bakal diperoleh oleh mereka. Mereka juga disuntik
dengan cecair yang berwarna merah yang dikenali sebagai “Pati 1” bagi
memastikan aktiviti mempengaruhi pemikiran mereka lebih mudah dijalankan.
Menurut Jerry lagi, terdapat juga suntikan yang lain digunakan untuk mereka
bertindak lebih ganas kerana hilang kewarasan dan ditekan oleh depresi yang
keterlaluan. Suntikan ini diberi kepada mereka yang ingkar dan cuba membongkar
rahsia pergerakan mereka. Semua ini telah dialami oleh Abang Aim. Menurut
Jerry lagi, Kelab WX2 itu adalah ruang sepi dan bukan sekadar kelab hiburan
semata-mata.
BAB 18 – Ahad Petang
Rafiq datang bertemu
Sukma untuk memberitahu bahawa Iskandar telah memberi maklumat tentang tempat
kumpulan Kelab WX2 berkumpul iaitu di bangunan biru di hujung daerah itu.
Mereka akan memulakan aktiviti mereka pada malam itu di bandar raya. Bilangan
mereka sangat ramai. Mereka akan membuat rusuhan. Rafiq telah melaporkan kepada
Kak Ros tentang perancangan tersebut. Iskandar tiba-tiba datang
dan memberitahu kepada Sukma bahawa dia telah sedar akan kesilapan yang telah
dilakukannya dan dia berjanji membantu Sukma menyelesaikan masalah tersebut.
Sukma menasihati Iskandar agar menghindari aktivis seperti
itu. Mereka meneruskan perancangan berdasarkan maklumat yang diberi
oleh Iskandar. Pihak berkuasa juga telah sampai ke tempat yang diberitahu.
Beberapa jam kemudian, pihak polis telah berjaya membuat tangkapan terhadap
ahli-ahli kumpulan tersebut.
BAB 19 – Hari Ini
Sukma berasa bersalah
kerana mengesyaki ibunya terlibat dalam kumpulan itu. Sebenarnya, Puan Delia
ialah perisik kerajaan yang menganggotai kumpulan WX2 untuk mengetahui dengan
lebih mendalam teori dan pemikiran yang cuba diserapkan oleh anasir yang
menyerang secara senyap. Puan Delia telah tercedera dan koma di hospital akibat
terkena tembakan ahli kumpulan itu semasa operasi.
No comments:
Post a Comment