Bab 1 – Akur Akan
Perintah
Berita kenaikan pangkat Encik Hasrul disambut dengan
penuh rasa syukur dan gembira oleh Encik Hasrul dan keluarga. Walau
bagaimanapun Encik Hasrul sekeluarga terpaksa berpindah ke tempat baharu.
Encik Hasrul diarah bertugas di daerah pedalaman masyarakat Orang Asli di
Pahang. Pertukaran ini menyebabkan semua ahli keluarganya merungut kerana
bimbang tidak dapat menyesuaikan diri tinggal di kawasan luar bandar. Encik
Hasrul tetap tenang menerima rungutan daripada isteri dan anak-anaknya.
Berita pertukaran Encik Hasrul juga tersebar luas di kawasan perumahan mereka.
Jiran-jiran mula bertanya tentang hal tersebut. Encik Hasrul berangkat ke
Jerantut untuk membuat tinjauan tentang rumah baharu mereka. Encik Hasrul
berpuas hati dengan keadaan rumah baharu mereka . Mereka akan berpindah
dalam masa seminggu lagi. Perpindahan awal ini untuk menguruskan
persekolahan anak-anak dan juga agar mereka dapat menyesuaikan diri
dengan keadaan setempat.
Bab 2 – Tersalah
Duga
Keluarga
Encik Hasrul berpindah ke Jerantut pada awal pagi. Rumah mereka dibiarkan
kosong tanpa penyewa. Ramai rakan ayah dan ibu Hartini yang datang berkunjung
ke rumah untuk memberikan ucapan selamat jalan. Akhirnya, Encik Hasrul
sekeluarga selamat sampai ke Kampung Kuala Batu kira-kira jam 5.00
petang. Masyarakat di Kampung Kuala Batu menyambut kedatangan Encik
Hasrul sekeluarga dengan meriah. Encik Hasrul melayani penduduk
kampung dengan mesra dan ceria walaupun beliau keletihan. Encik Hasrul dan
keluarga berpuas hati dengan keadaan rumah baharu mereka yang agak selesa. Pada
malam itu, anak-anak Encik Hasrul tidur dalam keletihan. Keesokan harinya,
Hartini bangun dengan satu perasaan yang berbeza. Dia sungguh damai
kerana dapat menghirup udara segar pada pagi itu. Dia berasa seronok
mendengar muzik alam yang begitu asli. Hartini tidak menduga keadaan di
pedalaman ini begitu indah. Jalan raya yang bertar dengan baik dan
kampung tersebut dilengkapi dengan kemudahan asas. Keadaan rumah
masyarakat Orang Asli juga telah berubah.
Bab 3 – Sekolah
Baharu Kawan Baharu
Hartini
mula bersekolah di Sekolah Menengah Kuala Batu dan dia dimasukkan ke Tingkatan
Tiga Teratai. Cikgu Malik, guru Tingkatan Tiga Teratai memperkenalkan
Hartini kepada murid-murid dalam Tingkatan Tiga Teratai. Murid- murid
Tingkatan Tiga Teratai menyambut baik kedatangan Hartini. Mereka berkenalan
dengan rasa senang hati. Hartini berasa geli hati apabila mendengar nama
rakan-rakan barunya yang pelik. Hartini mendapati tidak banyak perbezaan antara
kelasnya yang dahulu dengan kelas baharunya. Kelas ini bersih dan susunan
kerusi mejanya tersusun rapi. Hiasan kelas juga menarik. Perbezaan yang ketara
adalah dari segi penampilan murid-murid. Baju, kasut dan beg sekolah mereka
agak lusuh. Hal ini mungkin disebabkan kemiskinan. Selain itu, cara belajar
mereka juga berlainan. Murid-murid di sini tekun mendengar pengajaran guru dan
sangat menghormati guru-guru. Pada waktu rehat, Hartini berbual-bual dengan
Ineng, Ambok, Satiah dan Sinda. Hartini mengajak rakan-rakannya mengulang kaji
bersama-sama. Rakan-rakan Hartini agak keberatan apabila Hartini
mencadangkan mereka mengulang kaji di rumahnya. Mereka bimbang bapa mereka
tidak memberi kebenaran. Hartini meminta mereka memujuk bapa masing-masing.
Satiah menyatakan bahawa bapanya tidak suka dia bercampur dengan orang lain
selepas waktu persekolahan. Bapanya akan memukul Satiah jika ada rakan-rakannya
yang datang ke rumah. Hartini berasa simpati terhadap Satiah. Masalah Satiah
ini mengganggu fikiran Hartini. Dia ingin Satiah belajar bersama-sama mereka
kerana Satiah bijak dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Hartini menceritakan
masalah Satiah kepada ibunya. Ibunya memahami keadaan tersebut dan bercadang
untuk berkunjung ke rumah Satiah tetapi Hartini melarang kerana bimbang Satiah
akan dipukul oleh bapanya.
Bab 4 – Masalah
Satiah
Hartini
berasa beban yang ditanggung menjadi ringan setelah bercerita kepada ibunya
tentang masalah Satiah. Ibunya memanjangkan berita itu kepada ayah Hartini dan
ayahnya berjanji akan menziarah keluarga Satiah dengan alasan atas urusan
kerjanya. Keesokan harinya, Hartini ke sekolah dan dia tidak sabar memberitahu
hal tersebut kepada rakan-rakannya. Hartini mencari Satiah dan mendapati Satiah
tidak hadir ke sekolah pada hari tersebut. Aton, jiran Satiah menyatakan bahawa
Satiah tidak hadir ke sekolah kerana demam. Hartini ingin menziarahi Satiah
tetapi dilarang oleh Ambok. Akhirnya mereka bersetuju menunggu berita daripada
ayah Hartini yang akan menziarahi keluarga Satiah. Pada petang itu, ayah
Hartini memaklumkan bahawa dia tidak dapat berjumpa dengan Pak Morit kerana Pak
Morit ke hutan untuk mencari ramuan ubat-ubatan untuk Satiah. Hartini terkejut
dengan tindakan Pak Morit yang hanya memberi daun dan akar kayu untuk mengubati
penyakit Satiah. Ayahnya menjelaskan bahawa masyarakat Orang Asli masih
mengamalkan perubatan tradisional. Setelah dua hari, Satiah masih tidak hadir
ke sekolah. Hartini segera mencari Aton untuk bertanya khabar Satiah. Aton
memberitahu bahawa Satiah sudah beransur pulih. Semasa waktu rehat, Cikgu Malik
berjumpa dengan Hartini dan memaklumkan hasratnya untuk melantik Hartini
asebagai ketua Kelab Komputer. Pada mulanya, Hartini agak keberatan
menerima jawatan tersebut tetapi setelah dipujuk oleh Cikgu Malik, Hartini
bersetuju. Ayah Hartini menyambut baik berita pelantikan Hartini dan berharap
Hartini dapat belajar tentang komputer dengan lebih mendalam. Hartini
bertanyakan perkembangan Satiah kepada ayahnya. Ayahnya memberitahu sebab-sebab
Pak Morit melarang anaknya bergaul dengan orang lain. Hal ini kerana peristiwa
hitam yang telah menimpa anak perempuannya yang pernah belajar di Jerantut.
Ayah Hartini telah meminta kebenaran daripada Pak Morit supaya membenarkan
anaknya Satiah belajar bersama dengan Hartini dan rakan-rakannya di rumahnya
nanti. Ayah Hartini juga menjamin keselamatan Satiah dan akan bertanggungjawab
terhadap Satiah. Akhirnya Pak Morit bersetuju membenarkan Satiah belajar
bersama-sama Hartini dan dia juga bersetuju menyerahkan Satiah sebagai anak
angkat Encik Hasrul.
Bab 5 – Ahli
Baharu Keluarga Kami
Pak
Morit dan Mak Sukin datang ke rumah Encik Hasrul untuk menghantar Satiah. Ibu
Hartini menjamu keluarga Pak Morit dengan hidangan makan tengah hari yang
istimewa. Mulai hari itu, Hartini dan Satiah menjadi rakan belajar yang akrab.
Satiah seorang yang ringan tulang. Dia sering membantu ibu Hartini di
dapur walaupun dihalang. Semua ahli keluarga Hartini menyayangi Satiah.
Hubungan antara keluarga Encik Hasrul dengan Pak Morit juga semakin erat.
Peperiksaan akan bermula tidak lama lagi. Ayah Hartini menasihati mereka berdua
supaya bersedia menghadapi peperiksaan. Pada suatu hari, sewaktu Hartini dan
Satiah mengulangkaji bersama-sama. Hartini berasa mengantuk dan ingin tidur
sebentar. Dia meminta Satiah mengejutkannya. Hartini tersedar daripada tidur
dan dia ternampak Satiah tidur tertiarap di atas katil. Hartini cuba
mengejutkan Satiah tetapi tiada tindak balas dari Satiah. Hartini membalikkan
badan Satiah dan mendapati ada kesan tompokan darah pada bantal. Hartini
memberitahu ibu bapanya. Pak Morit dimaklumkan tentang perkara tersebut. Pak
Morit menjelaskan bahawa mereka sudah biasa dengan penyakit Satiah dan dia
telah membawa Satiah berubat dengan dukun. Menurut dukun, Satiah terlangkah
‘benda kotor’ dan dia perlu dihantar ke satu tempat untuk membuang ‘benda’ yang
ada di dalam tubuhnya. Ayah Hartini mencadangkan agar Hartini dibawa ke
hospital tetapi dilarang oleh Pak Morit dengan alasan dukun yang mengubati
Satiah tidak mengizinkan. Ayah Hartini memujuk Pak Morit agar bersetuju dengan
cadangannya apabila keadaan kesihatan Satiah semakin merosot. Akhirnya Pak
Morit bersetuju dan Satiah dibawa ke hospital.
Bab 6 – Senyuman
Satiah Mulai Tawar
Satiah
mendapat rawatan awal daripada pihak hospital. Dia dibenarkan pulang pada malam
itu. Pihak hospital telah mengambil contoh darah, air kencing dan kahak Satiah
untuk dihantar ke Makmal Kaji Penyakit. Pada malam itu, Pak Morit dan Mak
Sukin bermalam di rumah Encik Hasrul. Kira-kira jam 3 pagi, Satiah mengaduh
perlahan. Hartini terjaga dan membancuhkan segelas susu untuk Satiah. Keesokan
hari, rakan-rakan di sekolah sibuk bertanya tentang Satiah. Sinda mengajak
rakan-rakan menziarahi Satiah yang sedang sakit di rumah Hartini. Pada petang
itu, rakan-rakan sekelas Hartini datang melawat Satiah bersama-sama Cikgu Malik
dan Cikgu Anis. Ibu Hartini dan Mak Sukin menjamu mereka dengan cempedak goreng
dan kopi O. Ayah Hartini berjanji akan mengadakan kenduri besar-besaran
sekiranya mereka semua lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan nanti. Janji
Encik Hasrul menjadi pembakar semangat dalam dada murid-murid Tingkatan Tiga
Teratai.
Bab 7 –
Perpisahan Sementara
Peperiksaan
telah selesai. Satiah dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan
sihat. Encik Hasrul dan Pak Morit telah membawa Satiah ke hospital unutk
rawatan lanjut namun doktor belum dapat mengesan punca sebenar penyakit
Satiah. Cuti sekolah bermula, Hartini mengikut neneknya pulang ke
Johor. Hartini akan mengikuti kelas komputer di sana. Sebelum
berangkat, Hartini berpesan kepada Satiah agar selalu datang melawat ibunya dan
menjaga bilik mereka. Hartini berasa sedih berpisah dengan Satiah. Satiah
menitiskan air mata sebelum berpisah. Semasa berada di rumah nenek, Hartini
selalu terkenangkan ibunya dan Satiah. Nenek memujuk Hartini dan berjanji akan
menghantar Hartini pulang ke Jerantut selepas tamat kelas komputernya. Nenek
meluahkan perasaan sunyinya kerana tinggal seorang diri. Anak bongsu nenek kini
tinggal bersama abangnya di Ipoh. Nenek menghantarnya ke sana kerana dia
terlibat dalam masalah sosial. Keesokan hari, Hartini dan nenek ke Bandar
Pontian untuk mendaftarkan Hartini ke kelas komputer. Nenek menasihati
Hartini agar bijak memilih kawan. Dalam perjalanan pulang, mereka
terserempak dengan Mak Leha yang baru pulang dari balai polis kerana anak
lelakinya terlibat dalam penyalahgunaan najis dadah. Nenek menasihati Mak
Leha agar bersabar.
Bab
8 – Berita Yang Membimbangkan
Setelah selesai menduduki ujian komputer, Hartini dan
nenek berangkat ke Jerantut. Ibu Hartini riang menyambut kepulangan Hartini dan
nenek. Setelah saling bertanya khabar, Hartini menuju ke biliknya. Dia
mendapati biliknya kemas dan rapi. Ibunya memberitahu bahawa Satiah yang telah
mengemaskan bilik tersebut. Ibunya juga menceritakan bahawa Satiah
disahkan menghidap barah paru-paru. Hartini terkejut apabila mendengar
berita itu. Hartini terus menuju ke rumah Satiah. Dia pasti Satiah memerlukannya
pada saat itu. Satiah menyambut kedatangan Hartini dengan senyuman yang tawar
dan hambar. Hartini menangis melihat keadaan Satiah. Dia menangis
semahu-mahunya, begitu juga Satiah. Satiah memohon maaf kerana tidak
memberitahu Hartini tentang penyakitnya kerana bimbang akan mengganggu
pelajaran dan cuti Hartini di Johor. Hartini menasihati Satiah agar tidak
berputus asa dan Satiah mesti menguatkan semangatnya untuk melawan penyakit
itu. Satiah memberitahu Hartini bahawa bapanya tidak bersetuju dengan cara perubatan
moden malah dia menyesal kerana membenarkan Satiah dibawa ke hospital dulu. Mak
Sukin menyuruh Satiah bersabar dan dia berjanji akan memujuk bapa Satiah supaya
membenarkan Satiah berubat di hospital.
Bab 9 -
Kerana Adat dan Pantang Larang
Sejak
hari itu, Hartini berasa tidak tenang. Peristiwa Mak Sukin datang mengadu
tentang pendirian suaminya kepada ibu Hartini turut menganggu fikiran
Hartini. Hartini berasa tidak berdaya untuk membantu kerana ayahnya
sendiri tidak dapat memujuk Pak Morit. Namun Hartini bertekad untuk mencuba
memujuk Pak Morit. Pada keesokan hari, Hartini menziarahi Satiah.
Dia membawa kuih kegemaran Satiah iaitu bingka jagung. Sewaktu Hartini
sampai di rumah Satiah, Pak Morit berada di rumah. Hartini memberitahu
Mak Sukin tentang hasratnya ingin memujuk Pak Morit. Mak Sukin dan Satiah
membantah tindakan Hartini tetapi Hartini tetap ingin mencuba. Hartini
cuba untuk menerangkan keadaan Satiah kepada Pak Morit tetapi Pak Morit tetap
berkeras dengan pendiriannya. Pak Morit tidak mempedulikan rayuan dan tangisan
Hartini. Hartini berasa sedih dan kecewa kerana usahanya memujuk Pak
Morit gagal. Hartini pulang ke rumah dan memeluk ayahnya sambil menangis
teresak-esak. Hartini menceritakan peristiwa yang berlaku dan ibunya
menasihatinya agar berhati-hati menangani masalah ini. Ibu Hartini
bimbang jika Pak Morit memutuskan hubungan antara dua keluarga ini. Pada
keesokan hari, Hartini menziarahi Satiah seperti biasa tetapi Satiah tiada di
rumah kerana Pak Morit telah membawa Satiah berubat di Kampung Langsat.
Bab 10 –
Keruhnya Air yang Tenang
Hubungan
antara keluarga Satiah dan keluarga Hartini semakin renggang. Mak Sukin
berasa kesal dengan sikap suaminya yang semakin dingin terhadap keluarga
Encik Hasrul. Encik Hasrul dan keluarga tidak menghiraukan sikap Pak
Morit mereka tetap menziarahi Satiah. Hartini berasa hari-hari yang dilaluinya
sudah tawar dan hambar. Dia hanya merasakan hubungannya dengan Satiah sahaja
yang tetap utuh. Hartini cuba memberi sokongan dan semangat kepada Satiah.
Kini Satiah sudah boleh bangun dan berjalan sendiri. Satiah terpaksa mematuhi
pantang larang dukun yang melarangnya memijak tanah selama beberapa hari.
Hartini memberitahu Satiah bahawa keputusan peperiksaan akan diumumkan pada
esok hari. Hartini mengajak Satiah ke sekolah untuk mengambil keputusan
peperiksaan namun Satiah pasti bapanya tidak membenarkannya pergi ke sekolah.
Bab 11- Berita
Gembira Di Sambut Duka
Sewaktu
keputusan PMR diumumkan, Hartini, Ineng dan rakan-rakannya ke sekolah untuk mengambil
keputusan masing-masing. Satiah tidak hadir untuk mengambil keputusan PMR
kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Jam 11.00 pagi, Cikgu Malik
kembali ke sekolah bersama keputusan PMR yang diambil dari bandar. Keputusan
PMR tidak ditampalkan di papan notis untuk mengelakkan kesesakan. Setiap murid
mengambil keputusan masing-masing di bilik Cikgu Malik. Satiah mendapat
keputusan terbaik iaitu 8A. Hartini menduduki tempat kedua dengan memperolah 7A
1B. Rakan-rakan yang lain juga memperoleh keputusan yang cemerlang dan
membanggakan pihak sekolah. Pak Morit yang hadir untuk mengambil keputusan
Satiah pulang tergesa-gesa setelah dimaklumkan oleh anaknya Akob tentang
Satiah yang kembali diserang penyakitnya. Apabila Hartini mengetahuinya,
dia juga tergesa-gesa ke sana dan meminta rakan-rakannya memberitahu ibu
bapanya di rumah. Kedegilan Pak Morit untuk mengubati Satiah dengan cara
tradisional akhirnya terlerai setelah Encik Hasrul dan Hartini merayu sehabis
mungkin demi masa hadapan Satiah yang cemerlang dalam pelajaran. Keadaan Satiah
yang semakin kritikal dengan darah yang membuak-buak keluar dari mulutnya juga
menyedarkan Pak Morit akan ketidakberkesanan perubatan tradisional itu.
Akhirnya Satiah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Bab 12 -
Kuntum yang Hampir Layu
Kecanggihan
peralatan dan kakitangan yang cukup untuk merawat di samping doa-doa semua
orang yang menyayanginya telah berjaya mengurangkan penderitaan penyakit
Satiah. Keluarga Satiah dan keluarga Hartini bergilir-gilir untuk menjaganya di
hospital. Pak Morit juga telah sedar akan kesilapannya yang membiarkan Satiah
menderita lama dan berjanji akan mengubah pendiriannya. Encik Hasrul dan Pak
Morit merancang untuk mengadakan majlis kenduri kesyukuran setelah Satiah pulih
di samping memenuhi janji Encik Hasrul kepada murid-murid Sekolah Menengah
Kuala Batu sebelum peperiksaan PMR dahulu. Satiah telah mendapat tawaran untuk
ke sekolah berasrama di Sekolah Menengah Tanjung Bestari sementara Hartini pula
di Sekolah Menengah Gemilang Wawasan.
Bab 13 - Demi
Cita-cita dan Harapan Keluarga
Kenduri
kesyukuran yang dirancang berjalan dengan baik. Hampir semua murid lepasan
tingkatan 3 dan guru-guru Sekolah Menengah Kuala Batu hadir. Pengetua juga
hadir bersama isterinya. Penduduk kampung juga turut memeriahkan kenduri
tersebut. Hubungan keluarga Encik Hasrul dan Pak Morit kembali pulih seperti
sedia kala dan semakin erat. Sewaktu kenduri, Hartini dan Satiah memakai
pakaian sedondon yang ditempah khas oleh Puan Sarah dan mereka menjadi usikan
Along yang menggelar mereka ‘kembar siam’. Rakan-rakan mereka juga gembira
melihat keakraban Hartini dan Satiah. Keesokan paginya, Hartini telah diserang
demam selsema tetapi keadaannya semakin pulih setelah dibawa ke klinik oleh
bapanya. Puan Sarah dan Encik Hasrul sibuk membuat persiapan untuk Hartini dan
Satiah yang akan memasuki asrama. Pak Morit dan Mak Sukin cuba memberi wang
untuk pembelian barang keperluan Satiah ke asrama tetapi ditolak dengan baik
oleh Puan Sarah kerana mereka ikhlas dan menganggap Satiah seperti anak
sendiri. Masa untuk Hartini dan Satiah berpisah akhirnya tiba juga setelah
masing-masing memasuki sekolah berasrama yang berasingan.
Bab 14 -
Kesabaran juga Ada Batasnya
Hartini
dan Satiah sering berutus surat walaupun tinggal di asrama untuk mengetahui
perkembangan diri masing-masing. Keakraban hubungan antara Hartini dan Satiah
telah menarik perhatian Nora rakan sebilik Hartini. Rakan sebiliknya yang lain,
iaitu Junaidah pula tidak mempercayai kejujuran persahabatan Hartini dan
Satiah. Sikap Junaidah yang tidak sopan di samping perlakuan dan bahasa yang
kasar telah menyebabkan Hartini hilang kesabaran dan timbul pertengkaran yang
membawa kepada pergaduhan sehingga menyebabkan Junaidah cedera. Perkara itu
dibawa kepada pengetahuan pengetua dan setelah disiasat, pengetua meminta
mereka berdamai dan memperbaiki kelemahan dan kesilapan masing-masing.
Bab 15- Pecahnya Tembelang
Cuti semester pertama hampir tiba. Hartini menyatakan
kegembiraannya kepadaNora kerana Satiah akan datang menjemputnya bersama
bapanya nanti. Dia juga berhasrat untuk memperkenalkan Satiah kepada Nora.
Selepas konflik terjadi antara Hartini dan Junaidah, kelibat Junaidah
jarang-jarang dilihat di dalam bilik mereka kerana dia menumpang di bilik sebelah
iaitu bersama rakan karibnya Salha. Ketika di dalam kelas, Hartini, Nora dan
Najmi telah dipanggil untuk balik ke asrama kerana ada pemeriksaan mengejut di
bilik mereka. Apabila digeledah, polis Cawangan Narkotik telah menjumpai pilecstacy di
dalam kotak kecil di dalam laci Hartini. Akibatnya Hartini telah ditahan di
lokap. Encik Hasrul menyarankan dan meminta jasa baik pengetua untuk
menjalankan pemeriksaan mengejut di kawasan asrama bersama dengan pihak polis
sewaktu proses pembelajaran berjalan. Tindakan itu menemui kegagalan tetapi
keanehan tingkah laku Encik Kancho, pengawal keselamatan asrama telah
menimbulkan kecurigaan. Kelalaian Encik Kancho telah meninggalkan bukti kepada
pihak polis dan pihak polis telah menjejaknya sehingga dia ditahan disebuah restoran
di bandar Kuantan ketika menyerahkan sejumlah pil itu kepada pelanggannya.
Kehadiran Satiah, ibu bapanya dan ibu bapa Satiah melawatnya di lokap
menimbulkan suasana sedih tetapi Satiah memujuknya kerana Hartini memang
didapati tidak bersalah. Pengetua yang hadir sama juga meminta maaf kepada
Hartini atas segala yang berlaku.
Bab 16 -
Dia Pergi Jua
Sewaktu
di rumah, Hartini menghabiskan masa seharian untuk tidur sepuasnya. Satiah
balik ke rumahnya tanpa ditemani oleh Hartini, tetapi Hartini berjanji untuk
menyusulnya pada waktu petang. Encik Hasrul dan Puan Sarah mengatur kenduri
kesyukuran untuk Hartini yang telah terlepas daripada semua mala petaka. Orang
kampung sibuk membantu termasuk Pak Morit dan Mak Sukin. Pada waktu petang,
Hartini ingin menunaikan janji terhadap Satiah dan ingin menemuinya di
rumah Satiah tetapi tidak menemuinya. Hartini menunggu sehingga ditegur oleh
Akob dan Amat yang balik dari berkubang dengan rakannya. Jeritan Amat dari
perigi telah mengejutkan Hartini. Satiah terlentang di situ dengan darah yang
banyak sekali. Satiah segera dikejarkan ke hospital oleh Encik Hasrul dan Pak
Morit dan ditempatkan di wad ICU. Kematian Satiah telah menjadi pukulan hebat
kepada Hartini sehingga dia pengsan. Pengebumian Satiah terpaksa dilewatkan
atas permintaan Pak Morit yang mahu menunggu sehingga Hartini sedar daripada
pengsannya. Ustaz Amin berusaha memulihkan semangat Hartini. Setelah sedar,
Hartini teringat kembali kata-kata Satiah dan dia reda dengan pemergian
sahabatnya itu.
Bab 17 - Tersingkap
Misteri
Encik
Hasrul telah memohon kepada pengetua untuk melanjutkan cuti Hartini selama
seminggu lagi kerana keadaan kesihatan Hartini yang merosot sejak pemergian
Satiah. Keluarga Hartini cuba untuk menghiburkan hatinya yang kosong. Encik
Hasrul dan Puan Sarah mengambil barang-barang arwah Satiah dari asramanya di
Kuantan. Setelah memeriksa barang-barang tersebut satu persatu, Puan Sarah
menyerahkan sebuah buku berkulit tebal kepada Hartini. Hartini sedar, arwah
Satiah sering menghabiskan masanya untuk menulis di buku itu ketika masa lapang
tetapi tidak mengizinkan orang lain melihatnya dan dia menyatakan bahawa
Hartini akan mengetahui juga isi kandungannya suatu hari nanti. Kesempatan ini
digunakan oleh Hartini untuk membaca catatan arwah Satiah yang telah meluahkan
segala isi hatinya tentang persahabatan mereka di dalam buku itu. Setelah
selesai membaca buku catatan sebanyak 180 helai, Hartini dapat merasai bahawa
arwah Satiah telah tahu dan yakin akan detik kematiannya. Hartini bertekad
untuk merealisasikan wasiat sahabat dan saudaranya itu.
Bab 18 - Cempaka
Putih Untukmu
Percutian
tambahan yang dipohon daripada pengetua telah berakhir. Hartini akan kembali
semula ke asrama. Hartini dihantar oleh ibu bapanya bersama Pak Morit dan Mak
Sukin. Sebelum bertolak, Hartini meminta ayahnya supaya singgah di tanah
perkuburan. Setelah menghadiahkan al-Fatihah, Hartini mengajak Pak Morit
menanam pokok bunga cempaka putih yang dibawa oleh Mak Sukin di atas pusara
arwah Satiah untuk memenuhi permintaan sahabatnya itu.
No comments:
Post a Comment